DAP masih tak puas hati Anwar pilih bekas ADUN UMNO calon PH

DAP terus menyatakan kekecewaan apabila sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) – PKR dan Amanah – memilih dua bekas wakil rakyat UMNO untuk mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pada masa sama, DAP menerusi Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng bimbang salah seorang daripada bekas wakil rakyat UMNO itu, Datuk Seri Idris Haron akan dipilih menjadi Ketua Menteri (KM) jika PH menang PRN Melaka.

Sehingga kini, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengesahkan Adly Zahari daripada parti Amanah akan mengetuai kerajaan negeri Melaka jika PH menang.

Memetik laporan Malaysiakini, Guan Eng terus melahirkan kekecewaan dan berharap perkara sama tidak akan berlaku lagi pada masa depan.

Guan Eng menyatakan harapan agar PH tidak terus melakukan lebih banyak kesilapan, terutama mengenai calon KM gabungan itu.

“Kita telah melakukan kesilapan dan kita tidak boleh terus melakukan lebih banyak kesilapan. Khususnya calon KM mestilah Adli,” katanya dipetik daripada laporan berita itu.

Menurutnya, DAP kini terpaksa bekerja keras untuk menjelaskan isu pencalonan dua bekas wakil rakyat UMNO itu yang telah menyebabkan kerajaan negeri Melaka tumbang.

Terdahulu, Anwar mengumumkan Idris yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, dan bekas ADUN UMNO Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, akan bertanding di bawah tiket PH.

Tindakan itu, menyebabkan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyindir Anwar dan mempersoalkan langkah yang diambil PKR serta Amanah yang masing-masing akan meletak calon yang sebelum ini menjadi punca kejatuhan kerajaan Melaka susulan tindakan mereka menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. Berita berkaitan 

SPR menetapkan esok sebagai hari penamaan calon, diikuti 16 November bagi pengundian awal dan 20 November pengundian biasa.

PRN Melaka diadakan susulan keputusan Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah mendapat nasihat Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang kehilangan majoriti.

BERITA BERKAIT
POPULAR