
Parti MUDA.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata Pakatan Harapan (PH) sedang menyusun semula manifestonya seiring dengan perbincangan mengenai peruntukan kerusi dengan sekutunya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Ahli Parlimen Seremban itu juga memberitahu kerjasama dengan Malaysian United Democratic Alliance (MUDA) akan diteruskan tetapi DAP akan menyerahkan kepada parti baharu itu sama ada bersedia untuk menyertai PH sebagai ahli gabungan kelima selepas DAP, PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH), United Progressive People of Kinabalu (Upko).
“Sudah tentu DAP mula berbincang dengan parti komponen gabungan mengenai peruntukan kerusi dan manifesto… dan adalah penting untuk memastikan kita menyelaraskan kempen sebelum PRU-15,” katanya di Bukit Jalil hari ini.
Mengulas lanjut mengenai pakatan dengan MUDA, Loke berkata kedua-dua parti telah bekerjasama sebagai pembangkang di Dewan Rakyat dan semasa pilihan raya negeri Johor sebelum ini.
Loke meramalkan PRU-15 akan diadakan tahun depan walaupun didesak Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen secepat mungkin.
Sebelum ini, DAP menyifatkan MUDA menawarkan satu pilihan kepada pengundi Melayu, terutama yang berada di atas pagar, kerana parti itu bersifat majmuk dan memberi ruang kepada wanita Melayu yang muda untuk menyertai politik.
“MUDA akan memberi kesan tahap gempa bumi yang akan mewujudkan plat tektonik baharu dan memaksa parti sedia ada melihat kepentingan pengundi Melayu atas pagar serta mengubah peraturan politik,” kata Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.
Chin Tong bagaimanapun percaya MUDA akan berdepan halangan tersendiri termasuk cabaran untuk “klon” pemimpin seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di lebih banyak kawasan pilihan raya.
Katanya, MUDA juga berdepan cabaran untuk memenangi lebih banyak kerusi “separuh bandar separuh kampung” seperti Muar di Johor.
“MUDA juga perlu menguruskan perbezaan pendapat dalaman dan membina hubungan ahli yang baik bagi menyatukan semua,” katanya.