
Tan Sri Shahrir Samad.
Perbalahan antara pemimpin dalam kerajaan campuran nampaknya tidak akan berhenti, terbaharu Tan Sri Shahrir Samad turut membidas DAP berhubung isu ‘red line’ (batasan) kerjasama dengan UMNO.
Veteran UMNO, Shahrir menyindir DAP susulan kenyataan bekas Ahli Parlimennya, Ong Kian Ming yang membangkitkan isu batasan dalam kerjasama antara parti kerajaan campuran iaitu tidak bersetuju sekiranya Datuk Seri Najib Razak diberi pengampunan.
“Kian Ming hanya melihat kepada soal pengampunan Najib (Razak) sebagai ‘red line’ tapi begitu banyak ‘red line’ yang dicerobohi oleh kepimpinan kerajaan DAP selama 22 bulan.
“Sebab itu, Pakatan Harapan (PH) tak dapat cukup kerusi nak tubuh kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga kena dapat sokongan dari Umno dan GPS.
“Bersama dengan UMNO dalam kerajaan bukan ‘red line’ bagi akar umbi DAP?” katanya dalam hantaran di Facebook.
Kelmarin Kian Ming dilaporkan berkata, DAP perlu berkompromi selepas bekerjasama dengan parti berbeza dalam kerajaan perpaduan.
Namun, pemimpin DAP itu memberi peringatan bahawa ada batasan yang tidak boleh dilanggar kerajaan termasuklah pembebasan Najib.
“Saya rasa untuk akar umbi dan mungkin juga pemimpin DAP, ‘red line’ itu adalah pembebasan Bossku,” katanya merujuk kepada nama gelaran Najib.
Mengulas lanjut Shahrir berkata, sikap Kian Ming, seperti mana adiknya, pemimpin Amanah Khalid Samad yang mendahului parti dalam mengeluarkan kenyataan.
“Siapa jurucakap DAP ni? Anthony Loke bagi kepimpinannya? Ong Kian Ming bagi akar umbi DAP?” katanya lagi.