DAP cuba raih sokongan Melayu, dulu PKM pun sama juga: SU PAS Selangor

Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir berpendapat usaha DAP untuk meraih sokongan Melayu sejak parti itu terlibat dalam politik tanah air, sama seperti yang pernah dilakukan Parti Komunis Malaya (PKM) yang bergerak aktif sebelum negara Merdeka.

Menurutnya salah satu masalah besar buat DAP ketika mula terlibat aktif dalam politik tanah air adalah untuk menguasai dan memperoleh sokongan masyarakat Melayu, namun gagal kerana dari segi sejarah orang Melayu sukar menyokong perjuangan, apatah lagi parti yang dipimpin dan dikuasai bukan Melayu.

“Kalau kita sorot lebih jauh, inilah masalah yang sama yang dihadapi Parti Komunis Malaya atau PKM dahulu semasa mereka bergerak aktif di tanah air sejak sebelum Merdeka lagi.

“Pimpinan kanan PKM semuanya berbangsa Cina, namun mereka sedar perjuangan mereka tidak akan berjaya selagi tidak mendapatkan simpati dan sokongan masyarakat Melayu yang merupakan penduduk majoriti dalam negara.

“Orang-orang Melayu menolak PKM kerana parti berkenaan dilihat ganas, rasis, menolak agama dan yang lebih utama kerana didominasi masyarakat bukan Melayu,” katanya memuat naik tulisan terbaharu dalam Facebook beliau.

Bagaimanapun, Roslan Shahir berkata, PKM tidak berputus asa dan terus menyasarkan untuk mendapatkan sokongan orang Melayu, sehingga sanggup menubuhkan satu regimen yang dianggotai orang Melayu demi mendapatkan sokongan kaum ini.

“Tertubuhlah kemudiannya Regimen ke 10 yang kerja utamanya menarik dan memikat sokongan penduduk Melayu. Malangnya mereka hanya dapat segelintir kecil sokongan masyarakat Melayu.

“Inilah juga perhatian yang diberikan DAP iaitu untuk mendapatkan sokongan orang-orang Melayu. Di zaman awal penubuhannya DAP meletakkan calon-calon Melayu bertanding tetapi itu hanya di kerusi majoriti Cina.

“Menanglah beberapa calon Melayu di kerusi bukan Melayu termasuklah di sekitar Teluk Intan dan Ipoh, kemudiannya bekas pemimpin CUEPACS Ahmad Nor menang di Parlimen Bayan Baru yang merupakan kerusi majoriti Cina,” katanya.

Berita berkaitan: DAP kekal sebagai ancaman terbesar

Roslan Shahir berkata DAP tidak berpuas hati, dan cuba menembusi kerusi majoriti Melayu untuk memberi gambaran bahawa parti itu sudah mula diterima masyarakat Melayu serta mengadakan pakatan dengan parti-parti Melayu, termasuk PKR dan PAN.

Namun, parti Melayu yang menjadi pakatan mereka tidak boleh diharapkan sehingga DAP sendiri terpaksa menembusi kawasan Melayu dengan meletakkan calon Melayu yang taksub dan termakan dakyah mereka, katanya.

“Tidak hairanlah jika DAP sanggup berpakaian sebagai seorang Muslim, masuk keluar masjid dan surau, menghulurkan bantuan ke sekolah-sekolah dan institusi Islam semata-mata kerana mahukan undi dan sokongan masyarakat Melayu.

“Jangan orang Melayu lupa pernah seorang Ahli Parlimen DAP dari Sarawak berhujah di Parlimen menentang kemasukkan guru-guru agama Islam dari Semenanjung Malaysia untuk mengajar di sekolah-sekolah di Sarawak kononnya kerana tidak mahu mengimpot Islam ekstrem dari Semenanjung,” katanya.

Katanya bukan sehari dua DAP merancang untuk menguasai kerajaan, malah mereka tanpa jemu melancarkan pelbagai siri kempen dan gerak kerja, eksperimen politik yang berani dari semasa ke semasa dan akhirnya setelah mencuba lebih lima dekad sejak Pilihan Raya Umum 1969, dan pada 2018 mereka berjaya.

Sehubungan itu, Roslan Shahir mengingatkan masyarakat Melayu supaya berwaspada dengan ancaman DAP.

“Jika kita lalai, berpecah dan berbalah sesama sendiri, mereka mudah mengambil kesempatan dan akhirnya berjaya lolos menguasai kita sedang mereka langsung tidak prihatin apalagi perjuangkan isu nasib dan masa depan umat Melayu dan agama Islam.

“Bagi mereka isu agama ini adalah isu peribadi, bukannya urusan negara dan sepatutnya terhad di kalangan penganutnya sahaja. Sebarang usaha untuk memartabatkan Islam dilihat sebagai satu ancaman dan lebih jahat lagi mereka label sebagai ekstrem dan mahu melahirkan negara “Taliban”.

“Bukalah mata dan telinga masing-masing jangan sampai bumi di pijak milik orang, ketika itu menangis air mata darah sekalipun sudah tidak berguna,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR