DAP bimbang kalah teruk seperti PRN Melaka jika peratusan pengundi rendah

Kekalahan teruk yang sama akan berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu dibimbangi DAP akan berulang di Johor kali ini.

Semasa PRN Melaka, DAP hilang empat kerusi berbanding dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan jika senario sama peratusan pengundi juga rendah ia bakal menyebabkan banyak kerusi mereka akan tewas, kata Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata parti pembangkang akan bermasalah besar pada PRN Johor jika peratusan pengundi yang rendah berlaku.

“Hanya dibimbangi peratusan keluar undi. Itu masalah utama.

“Kalau peratusan undi tinggi, kita ada peluang. Kalau peratusan macam PRN Melaka susah sikit,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Guan Eng berkata mereka perlu mencari jalan untuk mengelakkan masalah sama berulang di Johor dan menyakinkan orang ramai untuk keluar mengundi.

“Di Melaka masalah kerana tidak keluar mengundi. Jadi, kena lihat kelemahan kenapa tidak keluar undi.

“Bagi yang keluar, undi sokongan masih sama kepada kita. Saya tahu sebab Covid-19, jadi kita kena fikirkan macam mana nak beri motivasi. Ini cabaran kita,” katanya lagi.

Semasa PRN Melaka, Barisan Nasional (BN) berjaya meraih majoriti dua pertiga apabila menang 21 daripada 28 kerui Dewan Undangan Negeri (DUN). Perikatan Nasional (PN) pula menang dua kerusi.

DAP hanya mengekalkan kemenangan di empat daripada lapan kerusi yang disandang, Amanah menang satu daripada dua kerusinya manakala PKR kalah di kesemua tiga kerusi yang dimenanginya pada PRU lalu.

BERITA BERKAIT
POPULAR