DAP, AMANAH korban enam DUN untuk MUDA, Anwar diketepikan

DAP dan AMANAH mendahului rakan gabungan mereka di dalam Pakatan Harapan (PH), PKR, apabila hari ini mencapai persetujuan kerjasama dengan memberi laluan kepada Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bertanding di enam kawasan diperuntukkan kepada mereka.

Persetujuan menjadi rakan strategik ketiga-tiga parti itu dicapai dalam rundingan pengagihan kerusi hari ini bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.

Persetujuan dua parti gabungan PH itu sekali gus memberi tamparan kepada Pengerusi PH yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila beliau diketepikan daripada pakatan strategik DAP, AMANAH dan MUDA.

Memetik kenyataan media rasmi DAP, persetujuan itu serasi dengan prinsip ‘khemah besar’ untuk menyatupadukan semua parti politik dan menggembleng tenaga yang bersedia melawan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Pimpinan Amanah, DAP dan MUDA percaya bahawa pakatan pilihan yang dijalin menerusi rundingan ini akan membawa suara rakyat Johor dengan cemerlang selaras dengan agenda ‘Johor Bangkit’ agar PRN Johor adalah untuk masa depan rakyat dan bukanlah perebutan kuasa dan jawatan,” kata ketiga-tiga parti dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan itu ditandatangani Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Susulan itu, DAP dan AMANAH mengorbankan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukkan oleh PH kepada mereka kepada MUDA.

Enam kerusi terbabit ialah:

N.5 Tenang
N.7 Bukit Kepong
N.22 Parit Raja
N.26 Machap
N.41 Puteri Wangsa
N.50 Bukit Permai

Kenyataan itu menambah, rundingan antara MUDA dan PKR sedang diteruskan demi kesepaduan menghadapi PRN tersebut.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRN Johor adalah pada 26 Februari 2022 dan hari mengundi awal pada 8 Mac 2022, manakala pengundian penuh pada 12 Mac 2022..

Menurut SPR, terdapat 2,597,742 pengundi yang terdiri daripada 2,574,835 pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan, 11,576 anggota polis dan pasangan serta 376 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara, layak mengundi pada PRN Johor.

BERITA BERKAIT
POPULAR