DAP akur keputusan PKR, Amanah mahu 2 bekas ADUN UMNO bertanding

Keputusan PKR dan Amanah yang mahu menerima dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) terpaksa diterima DAP sebagai menghormati kesepakatan gabungan tersebut.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata mereka akur dengan keputusan dua parti rakan dalam PH itu selepas kalah dalam keputusan majoriti walaupun Jawatankuasa Eksekutif DAP memutuskan dalam mesyuaratnya untuk menolak semua empat bekas ADUN yang menarik sokongan terhadap kerajaan Melaka sebelum ini.

“Namun, ini tidak bermakna keputusan majoriti sebegitu sebelum ini adalah betul.

“DAP berharap akan ada kebijaksanaan dalam PH dan menggesa sekutu kami untuk memilih mereka yang ikhlas terhadap aspirasi PH dan bukannya mereka yang bermotifkan oportunisme politik semata-mata.

“PH tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama dengan kehilangan nilai moral yang tinggi untuk membenarkan dua daripada empat Adun berkenaan bertanding sebagai calon PH pada pilihan raya umum negeri Melaka,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Pendirian DAP senada dengan kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, yang menuduh Amanah mengkhianati PH dengan menerima keempat-empat Adun berkenaan.

Dua bekas ADUN UMNO yang dikatakan bakal diberi peluang untuk bertanding atas tiket PH tersebut adalah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor).

PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat ADUN, termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Dua lagi bekas ADUN yang menarik sokongan adalah Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

BERITA BERKAIT
POPULAR