
Datuk Seri Azalina Othman Said.
Mana-mana parti politik yang berdepan siasatan termasuk melibatkan dana judi tidak perlu panik.
Demikian peringatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institut), Datuk Seri Azalina Othman Said, hari ini.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan agensi penguat kuasa lain, boleh melihat dan menilai kes-kes berkenaan. Jangan kita melihat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja yang bertanggungjawab menyiasat.
“Siapa juga yang terbabit kes jenayah, termasuk politik, jangan panik atau kelam kabut, biarkan agensi yang bertanggungjawab menjalankan siasatan. Saya cuma dimaklumkan mereka ada memberikan maklumat baharu tetapi saya tidak terbabit menjaga SPRM,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak projek Pembinaan Mahkamah Baharu Pengerang di Bandar Penawar, Kota Tinggi pada Jumaat.
Pada 25 Mei lalu, Azalina dalam jawapan bertulis di Parlimen memberitahu siasatan oleh SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan Anwar.
Katanya, siasatan mendapati dakwaan itu terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu, sekali gus tiada fail siasatan dibuka bagaimanapun, Azalina tampil sekali lagi memberi penjelasan lanjut mengatakan jawapan bertulis itu tidak menyatakan siasatan SPRM berhubung dakwaan itu sudah dihenti atau digugurkan.
Anwar ketika sidang medianya pada 5 Disember tahun lalu membayangkan sebahagian dana pilihan raya beberapa parti Melayu dan Islam datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan cabutan khas judi.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan siasatan berkenaan isu itu masih dijalankan oleh agensi bertanggungjawab bagi mengumpul bukti sebelum tindakan sesuai diambil.
“Sudah tentu, ia ada banyak agensi dan siasatan ini apabila ada bukti barulah diambil tindakan. Biarlah agensi itu jelaskan,” katanya menjawab soalan sama ada siasatan berkait isu itu masih diteruskan.
Susulan pengesahan Azalina itu, pemimpin pembangkang bertali-arus mendesak Anwar membuat permohonan maaf atas dakwaannya sebelum ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin seterusnya memaklumkan gabungan berkenaan sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap perkara itu.