
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Muhamad Takiyuddin Ismail.
Penganalisis politik berpendapat kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy bahawa gelombang sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) semakin berkurangan, hanyalah perang saraf menjelang pilihan raya di enam negeri.
Prof Madya Dr Muhamad Takiyuddin Ismail dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bagaimanapun tidak pasti mengapa Ramasamy mengeluarkan ‘lapan dalil’ bahawa sokongan Melayu kepada PN semakin lentur.
“Saya tidak pasti mengapa beliau (Ramasamy) beria-ia mengeluarkan ‘lapan dalil’ ini.
“Sebagai bekas saintis politik, beliau patut lebih tahu yang politik Malaysia semakin sukar diramal sejak sedekad lalu.
“Justeru, meramalkan sesuatu seperti kemerosotan PN adalah tidak berasas kerana tiada sesiapa boleh mengetahui atau melihat arus di bawahnya,” katanya mengulas kenyataan Ramasamy disiarkan Bh hari ini (16 April 2023).
Dr Muhammad Takiyuddin tidak yakin pengaruh PN sudah merosot, malah ada kemungkinan ia bertambah kuat kerana sentimen ketidakpuasan berganda terhadap UMNO dan Pakatan Harapan (PH) yang kini semacam ‘membuli’ gabungan PAS, Bersatu dan Gerakan itu.
“Kerap kali pengundi menyokong PN bukan kerana menyokong Bersatu atau PAS, tetapi lebih kepada tidak sukakan PH atau UMNO,” katanya.
Beliau turut mengingatkan Ramasamy supaya lebih berhati-hati dengan mendakwa PN menggunakan sentimen agama dan perkauman melampau kerana menepuk air di dulang, boleh terpercik ke muka sendiri.
Kenyataan Ramasamy bahawa gelonbang sokongan kepada PN semakin kurang itu juga bertentangan apa yang dikatakan Pengerusi DAP Pulau Pinang yang juga Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Dalam wawancara bersama CNA Singapura yang disiarkan hari ini, Kon Yeow berkata beliau mengambil perhatian tentang cakap-cakap di luar bahawa pengaruh PN semakin meningkat di Pulau Pinang.