Cukup tempoh 14 hari, MT akan putuskan Menteri UMNO kena letak jawatan?

UMNO mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi secara maya pada 7 Julai yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Semakin hampir tempoh 14 hari diberikan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya membuka sidang Parlimen, apakah yang bakal berlaku pada 7 Julai ini?

Kenyataan tegas Zahid yang dibuat selepas Mesyuarat Biro Politik yang dijalankan secara rahsia itu adalah amaran keras yang dilihat pemerhati politik sebagai cabaran kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya berunding dengan beliau kerana memiliki pilihan lain untuk menyeberang bersama cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Difahamkan, Zahid akan memanggil Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) pada 7 Julai ini sekiranya tuntutan 14 tempoh hari tersebut tidak dipenuhi, pelbagai spekulasi sedang berlegar-legar dalam media sosial berhubung ketetapan yang akan diputuskan selepas mesyuarat nanti.

Sumber dalaman parti memberitahu Agenda Daily satu keputusan penting akan dimuktamadkan selepas mesyuarat tersebut dan ia dirancang rapi Zahid bagi memastikan setiap Ahli Majlis Tertinggi patuh kepada ketetapan yang akan diputuskan dengan alasan kononnya kerajaan PN derhaka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong berhubung isu pembukaan Parlimen.

Intonasi dan nada Zahid yang diluahkan dalam kenyataan Facebooknya yang secara terbuka adalah amaran jelas kepada kerajaan PN, penuhi tuntutan 14 hari atau berdepan tindakan susulan.

Tindakan tergesa-gesa ini dilihat melanggar ketetapan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) yang sudah memutuskan sokongan UMNO terhadap PN akan ditarik balik sebaik terbubarnya Parlimen.

Bagaimanapun, sumber memberitahu Zahid tidak mahu menunggu sehingga Parlimen dibubarkan kerana menyedari sekiranya pilihan raya umum (PRU) diadakan, UMNO akan berdepan laluan sukar pada ketika rakyat masih bergelut dengan kesusahan hidup akibat pandemik Covid-19.

Langkah terbaik yang difikirkan Zahid terbaik adalah menukar kerajaan tanpa perlu mengadakan pilihan raya, justeru jalan terbaik baginya adalah meruntuhkan terlebih dahulu kerajaan PN.

Jadi, pilihan yang ada ketika ini adalah menggunakan MT untuk membuat ketetapan muktamad iaitu Menteri dan Timbalan Menteri UMNO yang memegang jawatan dalam kabinet Muhyiddin perlu meletak jawatan.

Apabila ketetapan sudah dimuktamadkan, semua yang memegang jawatan perlu patuh kepada keputusan tersebut dan ketetapan semasa PAU lalu (kerjasama sehingga terbubar Parlimen) tidak lagi terpakai memandangkan badan tertinggi sudah membuat pendirian baharu.

Sekiranya masih berdegil, ia akan dianggap ingkar kepada parti khususnya Presiden kerana dianggap melanggar keputusan parti atau lebih tepat lagi keputusan Zahid.

Sebenarnya, rancangan untuk mendesak Menteri dan Timbalan Menteri UMNO ini meletak jawatan sudah digerakkan sejak PAU pada Mac lalu, bagaimanapun tidak ada satu mereka yang mengikuti gesaan yagn dilontar oleh Zahid semasa ucapan berapi-apinya.

Sebaliknya yang berlaku sehari selepas PAU tersebut, beberapa Menteri dan Timbalan Menteri UMNO mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin, namun tidak ada yang meletak jawatan.

Kemudiaan, negara dikecohkan dengan klip audio perbualan tular antara Zahid dan Anwar, semasa perbualan itu Zahid ada meluahkan rasa kecewa apabila tidak ada Menteri dan Timbalan Menteri UMNO yang meletak jawatan atau menyahut seruannya untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN.

Kini, sumber mendedahkan Zahid sudah belajar daripada kesilapan dan jalan terbaik adalah dengan mengemukakan dokumen bertulis sebagai bukti menerusi akuan bersumpah (SD) dan setiap ahli MT yang menyokong keputusan untuk mendesak Menteri dan Timbalan Menteri UMNO meletak jawatan perlu menandatanganinya.

Hanya dengan SD, ketetapan tersebut boleh diperakukan sah bagi memastikan Menteri dan Timbalan Menteri UMNO melepaskan jawatan mereka selepas gagal melakukannya semasa PAU lalu.

Bagaimanapun, sejauh mana rancangan tersebut akan berjaya masih menjadi tanda tanya, bahkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga sudah menyanggah awal-awal lagi berhubung tempoh 14 hari yang diberikan Zahid bukan keputusan dasar parti kerana tidak dibawa untuk diputuskan dalam mesyuarat MT.

Ismail Sabri sendiri mengakui tempoh 14 hari tersebut bukan keputusan dasar parti walaupun terdapat beberapa ahli MT kem Zahid cuba menyokong kenyataan dikeluarkan oleh Biro Politik tersebut.

Kesimpulannya, adakah langkah terakhir Zahid pada 7 Julai nanti akan dapat mendesak Menteri dan Timbalan Menteri UMNO meletak jawatan mereka atau episod sama dikecewakan sekali lagi berulang?

POPULAR