
Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, kalah di Parlimen Gerik dalam PRU-15.
Pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) boleh diadakan pada awal November walaupun ketika itu negara sedang berdepan risiko bencana banjir, gesa Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Ketua Pemuda UMNO itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh membubarkan Parlimen pada hujung Oktober dan disusuli dengan pilihan raya pada awal November pula, senada dengan cadangan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mahu meredah banjir jika PRU-15 diadakan.
“Umpamanya jika dibubar pada awal Oktober, maka PRU-15 dapat dan sempat dibuat pada awal November, iaitu dua hingga tiga minggu sebelum ramalan hujan lebat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Bagaimanapun, Asyraf tidak ingat pembentangan Bajet 2023 akan dibuat pada awal Oktober yang memerlukan tempoh masa sekurang-kurangnya empat minggu untuk diluluskan di Dewan Rakyat.
Sekiranya Bajet 2023 tidak mendapat kelulusan di Dewan Rakyat, penjawat awam berkemungkinan berdepan risiko tidak menerima gaji kerana belanjawan tidak diluluskan ketika itu.
Asyraf kemudiaan membangkitkan persoalan sama ada PRU-15 boleh dijalankan semasa musim banjir dan kemudiaan memberi jawapannya sendiri.
Jelasnya lagi, tempoh masa diperlukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat persediaan menjalankan PRU-15 juga mencukupi, malah semasa PRU-14 lalu juga SPR hanya memerlukan kurang daripada empat minggu untuk mengadakan pilihan raya.
“Rekod PRU1-4 ialah, Parlimen dibubar pada 7 April 2018, dan SPR buat PRU pada 8 Mei 2018 (dalam masa kurang empat minggu).
“Makanya, berdasarkan kepada rekod kerja SPR, PRU yang lepas dan mengambil kira ramalan banjir JMM yang menjadi nas dan dalil utama masa kini, membuktikan kita masih sempat dan dapat mengadakan PRU sebelum musim banjir tahun ini jika dewan dibubar awal Oktober,” katanya lagi.
Terdahulu, Zahid juga mengeluarkan cadangan sama dengan berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedia berdepan PRU-15 sekalipun ketika itu negara sedang berdepan banjir.
Bagaimanapun kenyataan Zahid itu menerima kecaman dan kritikan daripada pihak lawan dengan membidasnya sebagai tidak sensitifi dengan kesusahan yang akan dihadapi rakyat semasa musim banjir.