Cikgu Zahid buka mulut, ‘… tapi ada suara macam saya’

Klip audio tular melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selepas hampir seharian mendiamkan diri, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya membuka mulut mengulas isu berhubung klip audio mirip perbualannya dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tular semalam di media sosial.

Anwar berkata akan mengarahkan pegawainya membuat laporan polis, langkah sama seperti diambil oleh Zahid yang juga turut sama mengarahkan pegawainya membuat laporan polis bagi mencari dalang penyebaran klip audio tersebut.

“Ini (rakaman klip audio tular) nak gunakan kita nak lawan poitik dalam UMNO. Nak gunakan kononnya perbualan saya dengan Datuk Seri Zahid untuk politik Bersatu nak menikam pimpinan UMNO.

“Ini bukan kerja saya. Sebab itu saya juga arahkan pegawai saya buat laporan polis biar siasat siapa yang punca ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Bilik Gerakan Utama Keadilan Selangor di Shah Alam.

Jelas Anwar lagi, suara dalam klip tersebut sama macam seperti suaranya, bagaimanapun mendakwa klip tersebut direka menggunakan teknologi canggih yang bertujuan untuk menfitnah dirinya.

“… tapi ada suara macam saya. Saya tak peduli.

“Nyata ada usaha untuk fitnah merekayasa dengan lebih canggih supaya dalam Keadilan ada tanya DAP, Amanah tak mudah tergugat dengan benda macam ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan berhubung satu klip audio suara mirip Anwar dan Zahid sedang berbincang strategi politik ketika PAU baru-baru ini.

Dalam klip audio tersebut, Zahid memuji Anwar dengan menyifatkan beliau sebagai ‘cikgu’ yang mengajarnya dalam memberikan ucapan hebat. Anwar sememangnya terkenal dengan kehebatan berdebat dan pidato.

Perbualan antara Presiden PKR dengan Presiden UMNO itu sangat mesra dengan kedua-dua mereka saling bertukar-tukar pandangan berhubung ucapan para perwakilan UMNO semasa PAU berlangsung.

POPULAR