Cikgu kata saya calon PM, anak murid kata undur PM, MT kena tipu?

Klip audio tular melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sekali lagi Majlis Tertinggi (MT) UMNO kena tipu, realitinya Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku cikgu masih menaruh harapan anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dapat menarik sokongan daripada parti itu untuk menjadi Perdana Menteri (PM).

Itu adalah taktikal sebenarnya yang dimaksudkan dalam klip audio tular pada April lalu, tapi ia cuba berselindung dengan alasan kononnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal sebagai asas untuk mendesak pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Agenda Daily difahamkan semasa hujung mesyuarat MT UMNO, Zahid ada membaca ketetapan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 lalu dengan menegaskan menolak Anwar dan DAP, cuma kini selepas mesyuarat ada tambahan dengan mendesak pula Muhyiddin meletak jawatan.

Kenyataan MT UMNO ini agak mengelirukan, adakah ahli-ahli MT tidak berfikir terlebih dahulu implikasi yang akan berlaku selepas kenyataan tersebut keluar?

Hari kedua selepas kenyataan Zahid, tidak ada apa-apa yang berlaku, lebih menghairankan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini masuk Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan tidak ada sebarang peletakan jawatan Menteri UMNO dalam Kabinet.

Ini menambah kekeliruan dikalangan akar umbi UMNO dengan tindakan Zahid, apakah sebenarnya yang mahu dikecapinya dengan kenyataan pada Rabu tersebut?

Bukankah ini menambah malunya, apabila Muhyiddin tidak meletak jawatan dan barisan Kabinet juga tidak ada satu pun daripada UMNO yang meletak jawatan.

Menurut sumber, kenyataan ahli-ahli MT UMNO semasa mesyuarat pada Rabu yang sering digunakan adalah “saya orang parti” dan tidak kurang juga bercakap dalam bahasan Inggeris “I’m party man”.

Malah, lebih menarik apabila seorang ahli MT dari Sabah semasa mesyuarat tersebut menyuarakan pandangan supaya UMNO mengumumkan langkah keluar daripada PN dengan segera sebelum program vaksinasi berjaya kerana ketika itu ia sudah terlambat buat parti.

Menurutnya, jika program vaksinasi tersebut berjaya yang akan mendapat kredit adalah PM dan bukan UMNO, ia secara tidak langsung menunjukkan betapa bodohnya ahli MT tersebut yang masih mahu bermain politik pada ketika negara sedang berdepan krisis.

Itu belum lagi pandangan seorang ahli MT yang kononnya tokoh pemikir UMNO dari Johor, bercakap dengan intonasi besar diri dan seolah-olah dirinya menang semasa Pilihan Raya Umum lalu yang menghentam Muhyiddin semasa dalam mesyuarat MT tersebut dengan pelbagai tohmahan dan kritikan.

Rakyat kini dapat melihat sendiri kerakusan para pemimpin UMNO ini yang nampaknya lebih mementingkan kuasa pada ketika penularan Covid-19 masih melanda negara.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asraf Wajdi Dusuki kerana keberaniannya bangkit mempersoalkan berhubung isu yang hangat diperkatakan iaitu kononnya Anwar akan diangkat UMNO sebagai calon PM dan kerjasama dengan DAP.

Sekurang-kurangnya Asraf berani bercakap secara terbuka dan berterus terang bertanya isu tersebut walaupun Presiden tidak menjawabnya.

Disini, Agenda Daily mengucapkan terima kasih kepada saudara Asraf atas kejantanannya.

Namun, selepas pendirian MT UMNO yang dikeluarkan pada Rabu tersebut, nampaknya tiada sambutan dan ia menambah kekusutan kepada parti tersebut. Yang menyambut dengan lantang gesaan Zahid tersebut pula adalah sebelah blok pembangkang yang sememangnya diketahui itu adalah perjuangan mereka sejak awal lagi.

Pembangkang senada dengan Zahid dan MT UMNO bersetuju dengan keputusan meminta Muhyiddin berundur.

Lebih menarik, blok pembangkang juga tidak bersetuju jika pilihan raya umum (PRU) diumumkan, ia selari dengan ketetapan MT UMNO yang hanya mahu PM sahaja ditukar dan digantikan dengan yang baharu.

Adakah Zahid dan blok pembangkang ini berfikiran menukar PM ini semudah menukar ketua kelas dalam bilik darjah?

Namun itu lah realitinya yang sedang direncanakan oleh cikgu Anwar kepada anak muridnya, Zahid. Sekarang, adakah MT UMNO sekali lagi kena tipu? Jangan ingat ahli UMNO ini bodoh tidak tahu apa yang sedang berlaku ketika ini.

POPULAR