Cermin diri tak perlu memilih, Najib ‘banduan’ digesa sahut cabaran debat Azmin

Datuk Seri Najib Razak tidak perlu terlalu memilih dengan menentukan siapa untuk berdebat memandangkan statusnya seorang ‘banduan’ yang sudah dijatuhkan hukuman bersabit salahguna kuasa kes SRC International Sdn Bhd (SRC).

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa bekas Perdana Menteri (PM) itu supaya menyahut cabaran yang dibuat oleh Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi berdebat berhubung isu Felda dan tidak perlu berdolak-dalik dengan memberi banyak alasan remeh.

“Saya rasa bakal banduan tak layak bercakap dengan Muhyiddin, dia (Najib) kena sedar diri dan cari kumpulan yang satu darjat dengan dia.

“Cabaran Azmin dia tak boleh jawab, dia cabar sana sini debat dengan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin), baiklah dia jawab soalan ditanya di mahkamah jangan bagi alasan, jangan bagi dalil mengelak diri pergi mahkamah, banyak sangat alasan,” semasa sidang media di Bilik Gerakan Utama PN Taman Scientex Utama, Senai.

Wan Saiful berkata calon terbaik untuk berdebat berhubung isu Felda dengan Najib adalah Azmin memandangkan inisiatif untuk memulihkan agensi tersebut banyak diurus bawah pengurusannya.

“Bagaimanapun dia tak berani untuk bercakap kalau nak berdepan dengan jelas, Azmin beliau paling baik bercakap mengenai Felda kerana dari segi usaha menambah baik Felda dilakukan dibawah kepimpinan Azmin.

“Sebelum apa-apa jawab itu dulu (cabaran debat Azmin), itu (debat dengan Azmin) pun tak berani, nak cabar orang lain pula,” katanya lagi.

Terdahulu, Azmin mencabar Najib untuk berdebat berhubung isu Felda, bagaimanapun Najib cuba mengalih perhatian dengan meminta untuk berdebat dengan Muhyiddin pula.

Dalam cabarannya, Azmin berkata debat itu hendaklah dilakukan sebelum hari Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini sambil mendakwa kepimpinan Najib menghancurkan peneroka dan masa depan Felda.

BERITA BERKAIT
POPULAR