Calon PN angkat sumpah, nama disemak dengan polis, SPRM dan insolvensi

Perikatan Nasional (PN) menjanjikan calon-calon yang akan bertanding pada PIlihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac depan terdiri daripada mereka yang bersih, dalam semua aspek, termasuk bebas daripada kes-kes mahkamah.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin sehubungan itu berkata, semua calon yang terlibat bukan sahaja akan mengangkat sumpah, malah nama-nama mereka telah dihantar kepada pihak berkuasa bagi memastikan mereka adalah bersih.

“PN sudah memutuskan bahawa setiap calon daripada Perikatan Nasional akan mengambil sumpah ataupun aku janji untuk menolak segala bentuk rasuah, menolak segala-gala bentuk, salah guna kuasa.

“Dan berpegang pada prinsip akan melaksanakan tanggungjawab dan amanah sejujur-jujurnya.. kita buat ini waktu pilihan raya di negeri Melaka baru-baru ini.

“Saya lihat hanya Perikatan Nasional sahaja berani untuk minta supaya calon-calonnya mengangkat sumpah wallahi, wabillah. watallahi yang Islam supaya mereka akan menjauhkan diri mereka daripada amalan-amalan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya pada majlis pengumuman calon PN di Johor Bahru, hari ini.

Bukan itu sahaja, malah kata Muhyiddin nama-nama calon itu telah dihantar kepada Polis Diraja Malaysia untuk menyemak jika terdapat kes-kes mahkamah.

“Jangan jadi seperti kluster mahkamah. Kita juga menghantar nama calon kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)… jangan ada elemen-elemen rasuah.

“Kita hantar pada Jabatan Insolvensi melihat sama ada mereka ini bankrap ataupun tidak. Di samping itu, parti juga membuat saringan dari segi kelayakan-kelayakan yang lain,” katanya.

Bekas Perdana Menteri Malaysia kelapan itu berkata apa yang dilakukan itu adalah kerana sayangkan negeri dan bangsa Johor, supaya wakil yang dipilih nanti benar-benar menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan amanah.

“Dan kita punya tagline ialah demi bangsa Johor. Demi bangsa Johor ialah bahawa kita bertekad dan berazam kerajaan yang akan terbentuk nanti akan dapat merancang satu bentuk pembangunan yang lestari, mencakupi pelbagai aspek kehidupan rakyat negeri Johor.

“Baik daripada bidang sosialnya, bidang ekonominya, bidang pendidikannya yang ada berkaitan dengan soal pekerjaan, alam sekitar dan berbagai lagi, yang kesemuanya ini akan kita senaraikan dalam manifesto yang akan kita keluarkan pada awal bulan hadapan.

“Ini adalah suatu jaminan kita bahawa kita mahu melihat negeri Johor ini bukan sahaja dibangunkan seperti yang dilihat pada masa-masa lepas, tetapi dapat ditingkatkan usahanya lebih berganda-ganda.

“Supaya Johor menjadi teras kepada pembangunan negara. Di sinilah kita akan mengambil langkah menjadikan Johor sebagai contoh yang terbaik,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR