Calon PM, TPM diputuskan dalam pemilihan UMNO Jun ini: Annuar

Tan Sri Annuar Musa mahu calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri mewakili Barisan Nasional (BN) diputuskan dalam pemilihan UMNO yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada Jun ini.

Bekas setiausaha agung BN yang dipecat itu berkata langkah tersebut akan dapat merungkai persoalan siapa yang layak untuk dinamakan calon bagi kedua-dua jawatan penting tersebut untuk mewakili parti.

“Sebagai parti yang kuat berpegang kepada peraturan dan amat kuat bergantung pada suara akar umbi, kita tidak teragak-agak untuk menyerahkan semula kepada akar umbi menentukan kepimpinan.

“Insha-Allah, calon PM dan TPM dari UMNO akan di putuskan sekitar Jun ini menerusi pemilihan oleh ahli UMNO sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Ketereh itu juga berkata UMNO akan memilih Presiden dan Timbalan Presiden yang selayaknya dan cukup sifat dalam pemilihan yang kemudiaannya juga akan menjadi calon PM dan TPM untuk memegang jawatan penting tersebut.

“UMNO akan memilih seorang Presiden dan seorang Timbalan Presiden yang mempunyai segala sifat dan kelayakan yang sesuai memikul tugas sebagai PM dan TPM bila tiba masanya,” katanya lagi.

Terdahulu, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan pada pada Perhimpunan Agung Umno 2020 berkata pemilihan parti perlu diadakan pada tahun ini tetapi keutamaan harus diberikan kepada pilihan raya umum.

Gesaan supaya pemilihan diadakan pada tahun ini semakin panas, baru-baru ini bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga menyatakan pandangan sama yang mahu pemilihan parti itu diadakan pada tahun ini juga.

BERITA BERKAIT
POPULAR