Calon PKR bagi DUN Bukit Batu dijangkiti Covid-19

Seorang calon PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Chiong Sen Sern sudah disahkan positif Covid-19 sebaik selesai penamaan calon yang berlangsung pada Sabtu.

Calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu itu dalam satu kenyataan mengesahkan dirinya positif Covid-19 hasil ujian kendiri dijalankannya dan akan mengasingkan diri untuk tempoh selama sekurang-kurangnya lima hari.

“Dengan berat hati, saya telah disahkan dijangkiti Covid-19 selepas menjalani kit ujian antigen pantas.

“Sudah menjadi amalan saya untuk membuat ujian kendiri setiap hari sebelum saya memulakan sebarang program untuk keselamatan semua.

“Saya minta maaf kerana saya terpaksa membatalkan semua program yang telah diatur,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa mana-mana individu yang menjadi kontak rapat untuk turut melakukan ujian kendiri sebagai langkah berjaga-jaga.

Bagaimanapun, Sen Sern berkata tidak akan meninggalkan kempen PRN dan pasukannya akan terus bergerak berkempen menerusi media sosial dan pelbagai saluran lain.

“Pasukan saya akan meneruskan semua aktiviti yang telah dirancang untuk penduduk Bukit Batu.

“Saya akan meneruskan kempen digital dalam talian termasuk di Whatsapp, Facebook dan saluran media sosial lain,” katanya lagi.

Sen Sern akan berdepan calon Barisan Nasional (BN) S Spayyah dan Tan Heng Choon daripada Perikatan Nasional (PN) di Bukit Batu yang terdiri daripada 58 peratus pengundi Cina, 34 peratus Melayu dan tujuh peratus India.

Timbalan Ketua PKR Johor Jimmy Puah adalah penyandang kerusi itu sejak 2013.

Bagaimanapun, Puah tidak bertanding dalam PRN kerana dia merancang untuk mengambil kerusi parlimen pada pilihan raya umum yang dijadualkan pada 2023.

BERITA BERKAIT
POPULAR