
PAS mungkin dibenar menggunakan lambang sendiri pada PRU-15.
Sekiranya PAS membuat keputusan untuk menggunakan logo sendiri parti pada pilihan raya umum ke-15, ia akan dibincangkan terlebih dahulu peringkat tertinggi Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak menolak PAS akan dibenar menggunakan logo mereka sendiri jika melihat ia antara strategi untuk meraih sokongan, namun buat masa ini perkara itu masih dalam perbincangan di peringkat tertinggi PN.
“Hasil perbincangan akan diumumkan kemudian,” katanya dipetik laporan BH.
Hamzah terdahulu menghadiri majlis kenduri kampung Anak Kurau hari ini.
Sebelum ini, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, memberi bayangan parti itu akan menggunakan logo sendiri pada PRU-15.
Katanya, penggunaan logo itu dijangka memberi kelebihan kepada PAS yang sinonim dengan logo digunakan sejak 70 tahun lalu.
Hamzah bagaimanapun enggan mengulas mengenai tawaran Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, mempelawa Tajuddin bertanding atas tiket PN mewakili PAS sekiranya kerusi Parlimen Pasir Salak diperuntukkan kepada parti itu.
“Semua orang boleh buat pandangan atau membuat tawaran begitu dan itu hanya cadangan.
“Segala keputusan muktamad terletak kepada pucuk pimpinan, jadi saya tak perlu membuat mengulasnya,” katanya.