
Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini (27 Jun 2022).
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyatakan kesediaannya mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Salak dan bertanding atas tiket PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang jika UMNO tidak memilihnya sebagai calon.
Menegaskan tidak akan menyertai PAS, Tajuddin bagaimanapun, berkata beliau juga mempunyai pilihan lain, termasuk bertanding atas tiket Bebas yang menyokong UMNO.
“Boleh dipertimbangkan… not a bad idea tapi tak adalah saya nak masuk PAS.
“Tapi kalau dia orang (Umno) berkasar saya boleh berkasar tanding bebas, masa ‘tsunami’ (politik) pun sokongan (saya) naik, tak pernah kalah,” katanya menurut Malaysiakini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelawaan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria, pada sidang media berhubung pemecatannya daripada Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Petaling Jaya hari ini.
Sabtu lalu, Razman berkata Tajuddin boleh bertanding jawatan berkenaan atas tiket PAS sekiranya beliau turut digugurkan sebagai calon pilihan raya Barisan Nasional (BN) pada PRU-15.
Tetapi Razman menambah bahawa tawaran itu bergantung kepada sama ada PAS mendapat Pasir Salak dalam peruntukan kerusinya di bawah gabungan lima parti Perikatan Nasional (PN), yang mana ia adalah ahli komponen.
Mengulas lanjut, Tajuddin berkata sebagai ahli politik yang sudah bergiat dalam UMNO selama lebih 50 tahun sudah pasti beliau sayang kepada parti berkenaan.
Menurutnya UMNO banyak membantunya sehingga berjaya berada pada kedudukan hari ini.
Ditanya sama ada kelantangannya bersuara akan mendedahkan dirinya dengan lebih besar kepada kemungkinan dipecat oleh UMNO, Tajuddin berkata hal itu tidak menjadi kebimbangannya.
“(Saya) Tak takut kena pecat, saya sudah banyak kali kena pecat,” katanya lagi.