Cadangan 5 ADUN lantikan, habuan kepada Ketua UMNO Bahagian tak tercalon?

Pengumuman langkah untuk melantik lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) jika Barisan Nasional (BN) menimbulkan persoalan sama ada ia akan menjadi habuan kepada Ketua UMNO Bahagian (KB) yang tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Pengarah Pilihan Raya BN Datuk Seri Mohamad Hasan semasa pelancaran manifesto mengumumkan cadangan menambah lima ADUN lantikan akan dilaksanakan sekiranya memenangi PRN dengan majoriti besar, namun ia sebenarnya dilihat lebih untuk menenangkan kemarahan Ketua-ketua Bahagian yang tidak tercalon.

Jika pengundi Melaka memilih BN kali ini, ia secara tidak langsung akan memberikan peluang kepada mereka untuk meneruskan cengkaman dengan kuasa yang mutlak kerana penambahan lima ADUN itu akan memberi kelebihan kepada gabungan itu khususnya UMNO.

Difahamkan, beberapa KB UMNO yang pada awalnya tidak berpuas hati kerana tidak tercalon dan merancang untuk memboikot kempen PRN kini sudah membayangkan bakal dilantik sebagai ADUN lantikan.

Alasan Mohamad kononnya untuk menstabilkan kerajaan negeri yang baharu sebenarnya hanya cerita omong-kosong kerana niat sebenarnya adalah untuk mengekalkan penguasaan BN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak.

Dengan lima ADUN lantikan tersebut, sebarang keputusan berhubung pentadbiran kerajaan negeri akan dikuasai secara mutlak, ia bermakna tidak akan ada semak dan imbang lagi dalam kerajaan negeri kerana BN dan UMNO yang akan berkuasa.

“Ya, beberapa Ketua-ketua UMNO Bahagian ramai yang tidak berpuas hati kerana tidak tercalon, tidak kurang juga ada yang merancang untuk memboikot kempen PRN.

“Jika dilihat, kempen BN kali ini agak perlahan dan tidak berjalan seperti kebiasaannya, selain kekangan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan ia juga berpunca akibat tindakan beberapa Ketua-ketua UMNO yang tidak membantu jentera kempen,” kata sumber yang juga seorang Ketua Bahagian di Melaka.

Pihak pemimpin atasan sudah memberitahu KB UMNO yang tidak tercalon agar tidak bimbang dan jangan bertindak memboikot kempen BN kali ini kerana mereka masih berpeluang untuk dilantik sebagai ADUN lantikan jika memenangi PRN kali ini.

Untuk rekod, BN pada PRN Melaka kali ini membariskan ramai muka baharu berbanding meletak calon penyandang iaitu sebanyak 86 peratus, malah majoritinya membuat penampilan buat kali pertama.

Dalam PRN kali ini, sebanyak 20 calon diletak UMNO, lapan diwakili MCA dan satu kerusi MIC.

BN juga menggugurkan lapan penyandang bagi PRN Melaka kali ini – Datuk Ismail Othman (Kuala Linggi), Datuk Md Rawi Mahmud (Tanjung Bidara), Datuk Amirudin Yusof (Ayer Limau), Datuk Latipah Omar (Taboh Naning), Datuk Seri Abdul Ghafar Atan (Asahan), Datuk Ghazale Mohamad (Rim), Datuk Roslan Ahmad (Merlimau) dan Datuk Hasan Abd Rahman (Sungai Rambai).

Semua penyandang ini mempunyai pengaruh yang kuat diperingkat akar umbi dan ia secara tidak langsung menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan pengundi tempatan.

Kedudukan kerusi DUN sedia ada adalah 28 semuanya dan jika ditambah lima lagi ADUN, ia bermakna bertambah lagi perbelanjaan untuk kerajaan negeri untuk membayar kos gaji dan elaun yang perlu diperuntukan.

Untuk rekod, gaji bagi seorang ADUN Melaka adalah RM9,000 tetapi ia belum dikiran termasuk elaun dan juga imbuhan keistimewaan lain bagi setiap wakil rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November.

BERITA BERKAIT
POPULAR