
Perikatan Nasional (PN) akui isu kekurangan dana susulan pembekuan akuan Bersatu memberi cabaran kepada calon yang mewakili gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Namun Bendaharinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara itu tidak memberi kesan yang terlalu besar kepada gerak kerja jentera gabungan berkenaan.
“Hari ini (sebagai contoh) habis sahaja pilihan raya, esok (PAS) telah memulakan proses untuk mengumpulkan dana. Jadi, bayangkan dalam masa lima tahun sedikit demi sedikit masing masing telah menyediakan dana yang mencukupi untuk membuat kerja asas di peringkat DUN.
“Memanglah tekanan yang dibuat kerajaan di peringkat Pusat terhadap akaun Bersatu memberi kesan (kepada gerak kerja calon PN) kerana ia dibuat sebelum pilihan raya.
“Namun, jentera (PN tetap) dapat bergerak cara sesuai dengan keadaan dana yang sedikit kerana yang penting semangat semua petugas termasuk pengundi muda sangat baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Ceramah Teguh Pertahan: Kenali Calon PAS Marang Kite di Kampung Padang Mengkuang Pengkalan Berangan di Marang, malam tadi, lapor Sinar Harian.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa masalah kekurangan dana yang dihadapi calon PN pada PRN kali ini adalah kifarah terhadap perbuatan menganiaya UMNO termasuk membekukan akaun parti tersebut.
Mengulas lanjut, Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata, gerak kerja jentera parti kini berada di landasan betul dan jika momentum itu dikekalkan hasrat untuk memenangi semua kerusi DUN pada kali ini tidak mustahil.
Namun, beliau turut mengingatkan jentera dan penyokong untuk tidak berasa terlalu selesa kerana keputusan muktamad hanya diketahui selepas hari pengundian nanti.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada April lalu menyita dua akaun bank Bersatu selepas membekukannya pada Januari lepas.
Menerusi satu kenyataan, SPRM memaklumkan tindakan sita itu dibuat pada 11 April lepas setelah pihaknya mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) kepada pihak bank.