Bung sahkan pencalonan Ismail Sabri untuk segerakan PRU selepas tamat MoU

Pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri (PM) bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) bertujuan supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan selepas tamat memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang, ia disahkan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu berkata PRU-15 perlu diadakan selepas berakhir MoU antara kerajaan dengan pembangkang berakhir pada 31 Julai depan nanti dan ia dilihat selari dengan pengumuman baru-baru ini Ismail Sabri sebagai calon PM.

“UMNO berpendapat pilihan raya umum mesti diadakan selepas MoU tamat. Saya tidak pasti bila tetapi yang pasti tahun ini,” katanya dipetik laporan media hari ini.

Bung menjelaskan langkah tersebut bukan sahaja bermakna UMNO mahu membentuk sebuah kerajaan yang kukuh tetapi juga mahu meningkatkan kembali ekonomi negara.

“Ini bukan semata-mata untuk Umno membentuk kerajaan tetapi kita melihat ia sebagai satu cara untuk meningkatkan ekonomi negara,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, kedudukan kerajaan sekarang yang tidak kukuh mengakibatkan para pelabur bimbang untuk melabur dan PM sekarang juga boleh tumbang bila-bila masa sahaja.

“Mereka menganggap Malaysia rapuh dari segi politik kerana perdana menteri boleh tumbang apabila mana-mana parti menarik balik sokongannya.

“Kita telah melalui tiga kerajaan dalam satu penggal, ia tidak baik untuk negara, ekonomi dan rakyat. Itulah sebabnya kami memerlukan mandat baharu,” katanya lagi.

Terdahulu, UMNO membuat pendirian MoU antara kerajaan pusat dan PH tidak akan dilanjutkan lagi selepas tamat Julai ini.

Selain itu, UMNO juga mengumumkan nama Ismail Sabri sebagai calon PM mereka pada PRU-15 nanti.

BERITA BERKAIT
POPULAR