
ADUN Tanjung Keramat Datuk Shahelmey Yahya menggantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah hari ini (11 Januari 2022).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin ‘dipecat’ daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri (TKM), setelah beliau membawa beberapa Ahli Dewan Undangan (ADUN) parti itu menarik sokongan terhadap Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Hajiji Noor.
Sebaliknya salah seorang daripada lima ADUN UMNO yang menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Hajiji iaitu ADUN Tanjung Keramat Datuk Shahelmey Yahya – sebelum ini Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat – dilantik sebagai TKM III, dan mengambil portfolia kerja raya yang dipegang Bung Moktar sebelum ini.
Selain Bung Moktar, Hajiji juga menggugurkan dua lagi anggota Kabinetnya daripada UMNO – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Yakubah Khan (BN-Karambunai); dan Setiausaha UMNO Sabah yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Arifin (BN-Sukau).
Susulan perubahan barisan Kabinet itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Jeffrey Kitingan yang juga ADUN Tambunan kini adalah TKM I dan memegang porfolio pertanian dan perikanan.
Jawatan TKM II pula disandang oleh ADUN Kundasang, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dari Parti Bersatu Sabah (PBS). Beliau juga dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Turut dilantik membarisi Kabinet baharu Sabah ialah dua wajil rakyat Pakatan Harapan (PH) – Datuk Christina Liew (PKR-Api-Api) yang juga Ketua PH negeri dan Phoong Jin Zhe (DAP- Luyang). Seorang lagi muka baru adalah James Ratib (UMNO-Sugut).
Christina dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, manakala Phoong Menteri Pembangunan Perindustrian.
Berikut senarai penuh itu:
- Ketua Menteri – Datuk Seri Hajiji Noor;
- Timbalan Ketua Menteri l merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan – Datuk Seri Jeffrey G Kitingan;
- Timbalan Ketua Menteri ll merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan – Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam;
- Timbalan Ketua Menteri lll merangkap Menteri Kerja Raya – Datuk Shahelmey Yahya;
- Menteri Kewangan – Datuk Seri Masidi Manjun;
- Menteri Pembangunan Luar Bandar – Datuk Jahid Noordin Jahim;
- Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi – Datuk Mohd Arifin Mohd Arif;
- Menteri Belia dan Sukan – Datuk Ellron Alfred Angin;
- Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat – James Ratib;
- Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar – Datuk Christina Liew; dan
- Menteri Pembangunan Perindustrian – Phoong Jin Zhe.