
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menyaksikan perubahan kedudukan tempat duduk melibatkan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Bung Moktar yang juga ADUN Lamag itu sebelum ini menarik sokongan terhadap kerajaan GRS bersama beberapa ADUN BN lain dipindahkan ke blok pembangkang semasa sidang khas DUN Sabah berlangsung hari ini.
Bagaimanapun setakat ini Pengerusi UMNO Sabah itu masih kekal sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah walaupun dipindahkan ke tempat duduk blok pembangkang.
Namun, kedudukan tempat duduk lima Adun BN Sabah yang secara terbuka menyatakan sokongan mereka kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor kekal tidak berubah.
Persidangan hari ini menyaksikan dua rang undang-undang berhubung penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas daripada Persekutuan kepada Sabah dan penubuhan suruhanjaya tenaga diluluskan tanpa sebarang insiden.
Walaupun masih belum ada pengumuman rasmi daripada Hajiji, penyusunan semula kerusi Bung Moktar memberi bayangan kemungkinan bakal dipecat daripada menjadi Timbalan Ketua Menteri.
Bagi wakil Pakatan Harapan (PH) pula, kerusi mereka dipindahkan ke barisan penyokong kerajaan.
Sebelum itu, Bung Moktar dalam satu kenyataan berkata sebahagian besar ADUN BN Sabah tidak hadir pada sidang khas DUN hari ini kerana mereka akan menghadiri menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur.
Jumaat lalu, BN Sabah mengumumkan bahawa mereka menarik balik sokongan kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri
Bagaimanapun, tindakan itu gagal menumbangkan Hajiji sebagai Ketua Menteri kerana lima daripada 18 ADUN BN Sabah dan tujuh ADUN PH memilih untuk kekal bersamanya.
Setakat malam tadi, Hajiji dikatakan masih menikmati sokongan 44 daripada 79 ADUN.