
Langkah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dilihat pincang apabila gagal menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, sebaliknya membawa padah kepada UMNO dan beliau sendiri.
Masih belum mengaku kalah dalam Langkah Kinabalu yang dilihat telah gagal menumbangkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Hajiji Noor, Pengerusi Badan Berhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin, bersedia meneruskan gerak langkahnya.
Dengan harapan langkahnya menjadi seperti pernah dilakukan ketuanya, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, langkah Bung Moktar bagaimanapun dilihat pincang.
Ini kerana terdapat lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menolak Langkah Kinabalu – menarik sokongan terhadap Hajiji – yang dibuat oleh 13 ADUN UMNO dan Barisan Nasional (BN) diketuai Bung Moktar.
Setakat ini, walaupun didesak supaya mengambil tindakan memecat Hajiji, Yang Dipertuan Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, masih belum membuat sebarang kenyataan, sekali gus meredakan kerisauan kumpulan 44 ADUN yang memberi sokongan kepada Hajiji.
Bagaimanapun, ianya bukan petanda bahawa kemelut politik Sabah sudah tamat dengan kegagalan usaha Bung Moktar yang dibantu Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal.
‘Api masih ada dalam sekam’. Demikian juga pergolakan di permukaan dilihat tenang, namun di dalamnya masih berkocak.
Apa lagi dengan ‘amaran’ terbaharu Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi, selepas sehari bertemu Zahid dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.
‘Game still on’, kata Bung Moktar sambil melihat sokongan diperoleh Hajiji – yang didakwa tidak mempunyai parti apabila keluar dari Bersatu dan Perikatan Nasional – bukanlah penamat kepada kemelut politik di negeri ini.
Menurut Bung Moktar ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu semalam, perlumbaan masih berjalan kerana perbincangan akan dilakukan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini (9 Januari 2023).
Katanya, penentu atau pengakhiran kepada kemelut politik yang berlaku sekarang hanya akan diketahui hari ini.
Bung Moktar turut menuduh 44 ADUN yang memberi sokongan kepada Hajiji turut melibatkan ADUN BN yang dirasuah.
“Sudah tentu dia (Hajiji) mempunyai 44 (sokongan ADUN)… itu semua orang saya (BN). Mereka rasuah semua orang saya tapi, tidak apa sebab rundingan masih berjalan, ‘game still on’.
“Kami menunggu kedatangan Perdana Menteri esok. Beliau akan bertemu dengan kami, bertemu dengan Warisan dan bertemu GRS. Selepas itu barulah kita bercakap tentang perkara ini,” katanya.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, beliau tidak melihat akan ada sebarang upacara mengangkat sumpah di Istana Negeri hari ini.
Mengulas jawatannya sebagai Timbalan Ketua Menteri, Bung Moktar mendakwa ketika ini kerajaan GRS telah pun tumbang.
“Kerajaan sekarang tidak ada sebab… kerajaan ini ditubuhkan bersama-sama antara BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) jadi, apabila BN menarik diri dan sokongan maka, Ketua Menteri sudah tiada,” katanya.