Bukti RM13 juta dipindah ke luar negara diserah kepada SPRM

Dokumen dan slip yang didakwa bahan bukti berkaitan wang RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah yang dikatakan dipindahkan ke akaun di luar negara sudah diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu disahkan Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap yang berkata pihaknya sedang meneliti bukti tersebut sebelum mengambil tindakan susulan. Ia diperoleh selepas pegawai SPRM menemui Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor semalam.

“Sebelum ini kita hanya mengetahui mengenai perkara ini melalui media sosial dan sumber luar sebelum SPRM berkunjung ke Pejabat Menteri Besar pagi semalam. Beliau memberi kerjasama yang baik.

“Kita sudah dapatkan beberapa dokumen penting berkaitan untuk penelitian awal, namun belum ada siasatan rasmi dibuat,” katanya dipetik laporan sebuah portal.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mendakwa wang milik MBI berjumlah RM13 juta dipindahkan ke akaun luar negara ketika Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih memegang jawatan MB Kedah.

Muhammad Sanusi berkata, wang berkenaan dipindahkan ke sebuah akaun bank di Kanada dan terdapat slip pemindahan masih disimpan pihaknya sebagai bukti.

Bagaimanapun, Mukhriz pula meminta Muhammad Sanusi membuat laporan polis dan kepada pihak SPRM berhubung dakwaan itu.

Mukhriz berkata, beliau memandang serius dakwaan terbabit kerana ia memberi gambaran buruk terhadapnya dan kerajaan negeri terdahulu ketika beliau menerajui Kedah.

BERITA BERKAIT
POPULAR