
Naib Presiden Kanan PBM, Steven Choong Shiau Yoon.
Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak semudah itu memberi jawatan kepada Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin, sebaliknya Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu perlu menunggu mesyuarat agung.
“Kita tidak boleh memberikan jawatan utama kepadanya begitu sahaja, haruslah menunggu mesyuarat agung bagi membolehkan pemilihan dilakukan,” kata Naib Presiden Kanan PBM, Steven Choong Shiau Yoon.
Bagaimanapun katanya, PBM perlu memberikan jawatan yang sesuai kepada Zuraida supaya rakyat melihat beliau boleh menerajui parti, membantu Presiden untuk melakukan gerak kerja berimpak besar dalam politik serta mengemudi penyokong pada peringkat akar umbi.
“Ada cadangan untuk memberikan jawatan sebagai Ketua Umum seperti yang diwujudkan oleh PKR kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu… saya tak pasti dia akan terima atau tidak,” katanya menurut laporan media hari ini.
Buat masa ini, Steven yang juga Ahli Parlimen Tebrau berkata PBM dan Zuraida perlu mencapai kesepakatan bagi memberikan jawatan sesuai kepadanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan keluar daripada parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai PBM setelah membuat pertimbangan dengan teliti dan mendalam.
Beliau percaya perjuangan PBM dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya antaranya keterlibatan pelbagai kaum, pemberdayaan wanita dan pemerkasaan anak muda.
Beliau juga mengumumkan akan meletak jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi – salah satu kuota kerusi menteri daripada Bersatu – tetapi sehingga kini belum menghantar surat meletak jawatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga masih tidak memutuskan berhubung perkara itu kerana belum bertemu Zuraida bagi mengadakan perbincangan lanjut.
Ismail Sabri dikatakan perlu mengambil masa memikirkan sama ada akan mengekalkan Zuraida atau sebaliknya melantik pemimpin Bersatu mengisi kekosongan itu, tatkala tempoh penggal Parlimen hanya akan berakhir kira-kira setahun sahaja lagi.