Bukan DAP yang buat keputusan pilih calon: Norhizam

Keputusan memilih calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan ditentukan oleh DAP, kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu.

Datuk Norhizam Hassan Baktee yang sebelum ini bertanding atas tiket DAP semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu membidas DAP supaya tidak memandai-mandai dalam menentukan calon yang bakal diletak bertanding dalam PRN nanti.

“Itu pandangan DAP, kita tunggu sahaja keputusan Pakatan Harapan (PH),” katanya dipetik laporan Bernama.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata mereka tidak akan menerima pengkhianat Norhizam Hassan Baktee sebagai calon pada PRN Melaka, mewakili PH.

Beliau berkata pendirian parti itu akan dimaklumkan pada Majlis Presiden PH.

Susulan itu, Norhizam membidas supaya Guan Eng perlu sedar yang DAP tidak mempunyai sokongan terutamanya dikalangan orang Melayu dan tidak masuk campur dalam urusan parti mana yang akan menerimanya masuk nanti.

“Saya masuk DAP ke? Siapa DAP nak menghalang saya. Saya tidak kata nak kembali ke DAP, kalau saya masuk PKR, apa kena-mengena dengan Lim Guan Eng?

“Kalau saya masuk Amanah, apa ada kena mengena dengan Guan Eng? Kalau saya masuk Pejuang, apa kena mengena dengan Guan Eng? Dia orang DAP, jaga sajalah orang DAP,” katanya

Baru-baru ini, Norhizam bersama tiga ADUN lagi yang menarik sokongan terhadap kerajaan Melaka pimpinan UMNO bertemu dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah hotel dan menyatakan kesediaan untuk bertanding atas tiket PKR.

Norhizam yang sebelum ini menang dalam PRU-14 lalu atas tiket DAP berkata beliau kini bukan lagi ahli parti tersebut dan Guan Eng tidak boleh sesuka hati mahu orang mengikut cakapnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR