‘Bukan buang imej UMNO kluster mahkamah, tapi buang kluster mahkamah’

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan mencabar UMNO untuk mengakui bahawa parti itu sedang diperkuda oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak untuk kepentingan peribadi mereka.

Menurutnya jika UMNO benar-benar mahu berubah, parti itu wajar membuang semua kluster mahkamah yang ada, bukannya membuang imej kluster mahkamah.

“Mengaku sajalah bahawa UMNO sedang diperkudakan sepenuhnya oleh Zahid dan Najib untuk kepentingan peribadi mereka.

“Kalau UMNO betul-betul nak berubah, bukan buang imej, tapi buang kluster mahkamah tu!,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau.

Wan Saiful berkata beliau menjangkakan UMNO meletakkan muka-muka baharu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai strategi untuk membuang imej kluster mahkamah.

“UMNO nampaknya tercari-cari helah untuk membuang imej kluster mahkamah. Saya jangka salah satu strategi UMNO untuk membuang imej kluster mahkamah ialah dengan meletakkan muka-muka baru sebagai calon.

“Mereka akan kata bahawa dengan muka-muka baru itu menunjukkan kononnya UMNO ada imej baru,” katanya.

Beliau berkata UMNO akan cuba menyembunyikan fakta bahawa untuk menjadi calon, semuanya terpaksa sujud kepada Zahid kerana Presiden UMNO itu seorang sahaja yang berkuasa menandatangani watikah calon.

Wan Saiful berkata walaupun UMNO meletakkan muka-muka bahru, tetapi semua calon UMNO tetap wajib menjadi budak-budak Zahid.

“Kalau tak sokong kluster mahkamah, mustahil Zahid akan beri watikah calon kepada mereka.

“Dalam kata lain, kluster mahkamah UMNO akan gunakan sepenuhnya kuasa watikah itu untuk pastikan semua calon di Johor adalah orang Zahid yang menyokong kluster mahkamah.

“Tidak mungkin Zahid akan calonkan kluster “UMNO soleh” yang mungkin akan melawan dia nanti,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR