‘Bukan Bersatu yang mahu beri ruang kepada PKR, DAP berkuasa semula’

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan

“Yang mahu memecahkan kesatuan politik Melayu bukan Bersatu. Yang mahu membuka ruang untuk PKR dan DAP kembali berkuasa juga bukan Bersatu.”

Demikian kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan sambil menegaskan Bersatu sentiasa menyeru kepada penyatuan agar kestabilan negara dapat diwujudkan dan dikekalkan, dan supaya struktur asas kuasa politik negara dapat dikekalkan.

“Tetapi jika perlu, seperti yang ditegaskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita sesekali tak akan undur daripada perjuangan ini dan kita akan pastikan agenda perjuangan tetap dijulang,” katanya.

Beliau berkata, rakyat juga akan menjadi hakim bagi menentukan parti mana yang jujur dan prihatin terhadap nasib rakyat serta siapa pula yang bermuslihat untuk kepentingan lain.

Bersatu, katanya, tidak pernah bermuslihat dengan parti lain sebaliknya sentiasa memastikan negara ini ditadbir dengan integriti dan kebajikan rakyat dibela sebaik mungkin.

Malah, katanya, Bersatu jaga tetap teguh dengan pendirian untuk tidak mencampuri urusan mahkamah dan menghormati kedaulatan undang-undang apabila menjadi kerajaan menerusi Perikatan Nasional (PN).

“Saya rasa tak ada sesiapa persoal kejujuran dan keikhlasan Bersatu menjaga kepentingan rakyat serta kepentingan bangsa dan agama. Malah, bila kita diasak, kita tetap tumpukan menjaga kebajikan rakyat dan kita tidak pernah bermuslihat,” katanya mengulas keputusan UMNO untuk memutuskan hubungan dengan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar dan perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2020 mengumumkan parti itu akan bertanding secara bersendirian menggunakan lambang Barisan Nasional pada PRU15 nanti.

POPULAR