
Pelancaran jentera kempen Pemuda BN dihadiri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Gambar Agenda Daily Hiekal Rosli.
Konflik dalaman UMNO dianggap selesai apabila Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan, kata Datuk Fathul Bari Mat Jahya.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu berkata kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang berjanji tarikh PRU-15 akan diumum sikit masa lagi membuktikan tidak ada lagi isu berbangkit berhubung konflik dihadapi parti itu.
“Malah, pimpinan tertinggi UMNO atau ‘top five’ parti sentiasa komited dalam menyelesaikan masalah berbangkit dan membincangkan tarikh PRU-15 seperti mandat yang diberi kepada pimpinan tertinggi.
“Perkara (konflik) ini asam garam biasa dan ia umpama orang cakap bila terdengar bunyi bising dalam rumah… tak ada apa pun sebenarnya, mungkin hanya alih meja,” katanya dipetik laporan BH.
Fathul Bari juga berkata jentera Barisan Nasional (BN) sudah bersiap-sedia untuk turun berkempen walaupun PRU-15 diadakan semasa musim banjir sebagai
menyahut gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam.
“Banyak pihak cakap UMNO hanya tahu berpolitik tanpa memikirkan mengenai banjir, tapi sebenarnya kitalah yang sering awal ke depan untuk membantu mangsa.
“Apa yang penting kita tak lupakan tugas utama untuk berkhidmat kerana itu sinonim dengan perjuangan UMNO dan BN,” katanya lagi.
Terdahulu semasa pelancaran jentera Pemuda BN, Ismail Sabri berkata tarikh
umum akan diumumkannya sedikit masa
lagi dan ia akan diputuskan semasa mesyuarat ‘top five’ yang akan diadakan pada 30 September ini.
Zahid semasa pelancaran semalam juga berkata walaupun PRU-15 terpaksa diadakan semasa musim banjir, jentera BN tetap sedia meredah berkempen bagi memastikan kemenangan besar nanti.