Buat apa yang Allah perintah, terus berdoa negara pulih, kata Muhyiddin

Rakyat diajak untuk terus berdoa agar keadaan negara kembali pulih daripada krisis kesihatan Covid-19 yang melanda negara, kata Perdana Menteri Sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Muhyiddin berkata semoga rakyat dan negara terpelihara daripada ancaman virus Covid-19, semoga negara yang dicintai aman dan makmur bangkit menjadi lebih kuat.

“Berdoalah agar kita semua sentiasa dilindungi Allah SWT dari virus COVID-19 dan diberi kekuatan untuk menempuh ujian, cabaran dan rintangan daripada pandemik ini.

“Mudah-mudahan keadaan akan beransur pulih dan negara Malaysia yang kita cintai ini akan sentiasa aman, makmur dan bangkit menjadi lebih kuat dari sebelumnya, Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook rasminya.

Muhyiddin berkata dengan berpandukan kepada jalan Allah, al-Quran dan sunnah, beliau yakin dan percaya hidup akan lebih tenang dan bermakna.

“Do not do what you feel is right. Do what Allah say is right. Do what is right. Kepada Allah SWT jualah kita berserah,” katanya.

(Jangan buat apa yang kita rasa betul. Buat yang apa yang Allah perintah. Buat apa yang betul)

Dalam pada itu, beliau menasihatkan rakyat supaya sentiasa mengambil langkah proaktif dan setiap individu bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan dan kesihatan terpelihara ketika berada di khalayak ramai termasuk di masjid dan kawasan awam lain.

“Alhamdulillah, hari ini saya dapat menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara bersama jemaah yang lain di bawah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang teratur dan ketat,” katanya.

Pada 16 Ogos, Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai PM dan jawatan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta.

BERITA BERKAIT
POPULAR