
Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Selangor Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir.
PAS Selangor menyifatkan pemimpin pembangkang cuba menangguk di air keruh dan melaga-lagakan antara parti itu dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung isu festival Bon Odori.
Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir berkata pembangkang, terutama DAP, dilihat cuba menampakkan PAS sebagai menentang titah Sultan Selangor yang mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak menghalang festival berkenaan.
Menurutnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad walaupun Naib Presiden PAS, tetapi mengeluarkan kenyataan berkaitan isu itu atas kapasiti beliau sebagai menteri.
“Ia bukannya pandangan peribadi, bukan juga pandangan beliau sebagai Naib Presiden PAS tetapi sebagai Menteri Kabinet yang memegang portfolio sebagaimana dinyatakan. Ianya berdasarkan pandangan dan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Nasihat bukannya arahan, tetapi pilihan. Mahu akur atau tidak, terpulang. Ia bukan bermaksud mahu membatalkan festival berkenaan.
“Kemudian Tuanku Sultan Selangor juga bertitah atas isu yang sama. Semuanya berlegar sekitar mahu menjaga kemaslahatan dan kepentingan umat Islam dan masyarakat Malaysia.
“Tiada unsur politik pun dalam isu ini. Tetapi pihak pembangkang sengaja mahu menagguk di air keruh. Kononnya Menteri dan PAS derhaka pada Tuanku Sultan. Ternyata ada usaha jahat melagakan antara Menteri Agama dan PAS dengan Tuanku,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mendakwa PAS secara terbuka derhaka terhadap titah Sultan Selangor berhubung isu Bon Odori.
Ia selepas Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan agar umat Islam tidak menyertai festival itu kerana unsur-unsur keagamaan yang terdapat di dalamnya.
“PAS kini secara terbuka derhaka terhadap titah diraja Sultan Selangor,” kata Kor Ming menerusi Twitter.
Pada 8 Jun lalu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata Sultan Selangor menitahkan JAIS tidak mengambil pendirian dan sikap menyekat program Bon Odori yang akan diadakan pada 16 Julai depan di Shah Alam.
Dalam satu kenyataan, Mohd Shahzihan juga berkata Sultan Selangor turut menitahkan jabatan itu tidak menghalang mana-mana individu untuk menghadirinya.
Mengulas lanjut, Roslan berkata sepanjang sejarahnya PAS adalah antara parti yang ke hadapan mempertahan dan mendaulatkan Raja-raja Melayu.
Beliau mengingatkan ketika bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu melakukan pindaan Perlembagaan bagi mengekang kuasa Raja-raja Melayu, wakil tunggal PAS di Parlimen ketika itu, Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat bangkit menentang pindaan.
“Yang pernah derhaka di Selangor ikut titah Tuanku adalah PKR dan DAP bukan PAS” katanya yang turut memuat naik keratan akhbar berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor pada 2014 lalu.