
Ketua Pemuda PAS dan Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari.
UMNO boleh ditumbangkan di Pahang sekiranya ada persefahaman antara penyokong Pakatan Harapan dengan PAS di negeri tersebut pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari tidak menolak kemungkinan UMNO boleh kalah di Pahang jika wujud perkongsian kuasa antara PH dan PAS memandangkan jumlah kerusi yang banyak dimenangi semasa PRU-14 sebelum ini.
“Dalam PRU akan datang, jika penyokong PH dapat berfikir sejenak betapa pentingnya merubah kepemimpinan Pahang, Insya-Allah PAS ada peluang untuk menang atau setidak-tidaknya menjadi pemegang syer paling besar dalam pembentukan kerajaan Pahang.
“Ambil contoh DUN Pulau Tawar yang mana PAS hanya kalah dengan majoriti 587 undi di tangan UMNO, sedangkan undi yang diperolehi oleh PKR ialah 1,973.
“Pengundi PKR dan PH di kerusi ini perlu berfikir sejenak betapa ruginya undi dibazirkan begitu sahaja dengan memberikan kemenangan kepada UMNO/BN.
“Jika pengundi mereka beramai-ramai memberikan undi kepada PAS, PAS boleh memenangi DUN Pulau Tawar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Untuk rekod, semasa PRU-14 lalu PAS memenangi lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 42 kerusi keseluruhan di Pahang, sementara Pakatan Harapan (PH) sembilan kerusi dan Barisan Nasional (BN)-UMNO pula 25 kerusi.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata senario yang sama juga boleh berlaku di beberapa kerusi DUN lain, sebagai contoh DUN Tioman yang mana calon PAS mendapat 5,382 undi dan tewas dengan majoriti 1,280 di tangan calon BN/UMNO, sedangkan calon PKR di DUN itu mendapat 3,029 undi.
“Alangkah baiknya jika pengundi PH atau PKR dalam pilihan raya lalu dapat membuat pertimbangan semula dan memberikan undi kepada PAS pada pilihan raya kali ini demi merubah kepemimpinan kerajaan Pahang.
“Insya-Allah, selepas himpunan 20K akhir bulan lalu, jentera PAS Pahang kelihatan semakin bertambah aktif daripada barisan Pemuda, Muslimat, Ulama dan seluruh lapisan jentera bekerja keras demi memastikan PAS berjaya merampas Pahang.
“Jom, bantu Pahang. Jadikan negeri keempat selepas Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya lagi.