BN umum manifesto tambah 5 ADUN lantikan jika menang besar

Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan bakal ditambah sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan besar memperoleh majoriti dua pertiga.

Cadangan itu termasuk dalam manifesto BN yang diumumkan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan dengan alasan kononnya bertujuan memastikan kemakmuran kepada seluruh rakyat Melaka tanpa mengira latar belakang politik.

“Kematangan politik ini turut dimanifestasikan menerusi cadangan meminda perlembagaan negeri bagi tujuan melantik lima orang ADUN tambahan termasuk dari kalangan belia dan NGO bagi membuka ruang dan perspektif persidangan DUN di luar ruang lingkup politik semata-mata.

“Ini menunjukkan ketersediaan dan keberanian pentadbiran kerajaan negeri yang bakal diwujudkan kelak untuk mendengar suara semua pihak,” katanya dipetik dalam laporan media hari ini.

Pengarah Pilihan Raya BN itu membentangkan manifesto gabungan tersebut untuk ditawarkan kepada pengundi bagi PRN Melaka hari ini.

Bagi melaksanakan janji tersebut, Mohamad berkata, BN mesti menang dua pertiga daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan dalam PRN ini.

Untuk rekod, BN mempertaruhkan 28 calon bagi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN kali ini.

Jika langkah menambah ADUN lantikan itu dilaksanakan, ia akan menyaksikan pertambahan dengan jumlah DUN keseluruhan 33 kerusi.

Untuk rekod Kerajaan Melaka sebelum ini dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dari UMNO selepas PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) yang tumbang Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, PRN Melaka terpaksa diadakan selepas empat ADU menarik sokongan terhadap kepemimpinan Sulaiman, sekaligus menyaksikan kerajaan negeri yang diterajui UMNO tumbang.

Empat ADUN itu ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

BERITA BERKAIT
POPULAR