
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.
Membentuk kerajaan campuran dengan kumpulan politik lain membolehkan Barisan Nasional (BN) memperoleh kuasa majoriti besar selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Datuk Seri Azalina Othman Said.
Berucap pada konvensyen ulang tahun ke-48 BN, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu berkata realiti politik pada masa ini memerlukan BN bersikap fleksibel mengenai pakatan sama ada sebelum atau selepas PRU.
“Walaupun kita menganggap mereka sebagai musuh atau kita tidak melihat mereka sebagai kawan, kita perlu mempertimbangkan pilihan (menyertai pakatan) jika kita mahukan kemenangan 148 kerusi,” kata Azalina.
Jumlah yang disebutnya akan mewakili majoriti dua pertiga dalam Parlimen daripada 222 kerusi yang ada, yang akan membenarkan mana-mana gabungan pemerintah menggubal undang-undang tanpa halangan, walaupun dalam perkara yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan.
BN kini merupakan sebahagian daripada kerajaan campuran dengan Perikatan Nasional (PN), sebuah pakatan bersekutu dari segi pembentukan kerajaan, namun bersaing secara sihat dalam arena politik, termasuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
PN adalah gabungan Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan mendapat sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Pembentukan kerajaan gabungan BN dan PN terjalin setelah 15 ahli Parlimen UMNO diketuai presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengkhianati perjanjian menyokong Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum PN kemudian bersetuju menyokong Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri kesembilan.
Azalina, percaya gabungan itu boleh mendapatkan semula kuasa dalam pilihan raya umum akan datang dengan sendirinya.
Azalina juga menyatakan bahawa keengganan untuk berkompromi dan membentuk pakatan politik mungkin menghalang daripada memimpin kerajaan yang berkesan atau dapat meluluskan undang-undang.
“Jika kita mahu menang, kita perlu bersedia untuk berunding dengan pihak yang berkongsi titik persamaan,” kata Azalina, namun menegaskan bahawa terma sebarang perkongsian mesti dipersetujui terlebih dahulu.
Azalina yang juga Penasihat Khas Perdana Menteri berkata parti-parti komponen juga perlu untuk berfikiran terbuka sebagai persediaan sebelum PRU-15 bagi memastikan kerajaan yang dibentuk kelak adalah sebuah kerajaan yang kukuh.
“Kita kena bersedia untuk berfikiran terbuka kepada pendekatan baharu iaitu sama ada pre atau post-election coalition agreement. Jadi sebelum masuk pilihan raya kita buat persediaan, bersetuju atas beberapa fakta ataupun lepas menang kita bincang.
“Tapi kalau kita pergi pada pilihan raya dengan pemikiran bahawa BN sahaja dan kita tidak fleksibel rasa kita tidak dapat mentadbir kerajaan sekali lagi seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya.
PRU akan datang tidak dijangka diadakan sehingga September 2023 tetapi sebahagian daripada UMNO mendesak Ismail Sabri mempercepatkannya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri menyatakan keberatan untuk berbuat demikian, dengan menjadikan keadaan inflasi dan ekonomi negara yang tidak kondusif sebagai alasan mengadakan PRU dalam masa terdekat.