
Tan Sri Noh Omar.
Barisan Nasional (BN) Selangor perlu menawan semula kerajaan negeri itu selepas merasai keperitan menjadi pembangkang selama tiga penggal sejak kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar berkata keadaan bertambah sukar apabila gabungan politik itu gagal membentuk dan menjadi Kerajaan Persekutuan pada PRU-14 kerana tiada peruntukan untuk membantu rakyat disalurkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.
“Sebelum ini, walaupun kita pembangkang dalam kerajaan negeri, di Pusat kita berkuasa. ADUN kita tidak dapat peruntukan (di negeri), Pusat bagi peruntukan kepada ADUN kita.
“Jadi kita tidak berapa nak merasa jadi pembangkang. Tetapi apabila kita kalah di Pusat dan negeri, baru kita rasa betapa pahitnya menjadi pembangkang.
“Maka hari ini, kita datang konvensyen ini dengan harapan kita akan bangkit semula dan kita ada peluang cerah untuk memenangi semula Selangor pada PRU-15,” katanya ketika berucap pada Konvensyen BN Selangor 2022 di Shah Alam, hari ini.
Noh berkata, ahli parti komponen BN juga perlu ikhlas meneruskan perjuangan kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk memperoleh kemenangan.
“Kalau kita ikhlas dalam perjuangan, bersatu dan berpegang pada cogan kata iaitu kesepaduan serta kestabilan, insya-Allah kita akan terus bangkit dan ada peluang menang pada PRU akan datang,” katanya.
Noh turut meminta ahli parti membuang segala tanggapan buruk dan dakwaan mengenai kewujudan sesetengah kluster dalam komponen itu supaya mereka dapat bersama-sama bekerja bagi memenangkan BN.
“Tolong jangan ada anggapan buruk. Matlamat kita satu, BN mesti menang pada PRU-15,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Datuk Rizam Ismail mengingatkan semua parti komponen BN negeri supaya menjauhi budaya ‘cah keting’ yang dilihat menjadi punca kekalahan gabungan itu pada tiga PRU terdahulu.
Menurutnya usaha BN untuk merampas semula negeri ini perlu diperkukuh dengan kekuatan perpaduan dan kesepakatan.
Selain itu, beliau berkata, semua pihak juga harus menerima keputusan parti dengan hati terbuka, terutama dari segi pemilihan calon BN pada pilihan raya akan datang.
“Kita perlu terus bekerja sebagai satu pasukan walaupun tidak dipilih menjadi calon parti masing-masing.
“Jangan kerana perkara itu (tidak dipilih sebagai calon), wujud budaya (cah keting) yang memecahbelahkan parti, sekali gus menjadi punca kekalahan kita kelak,” katanya pada majlis sama.
Media hari ini melaporkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada konvensyen itu mengingatkan semua ahli BN, termasuk pemimpin, supaya tidak menyerang antara satu sama lain sehingga merugikan parti.
Perdana Menteri dipetik berkata, serangan sepatutnya disasarkan kepada pembangkang yang bakal menjadi lawan pada PRU-15.