BN menang besar, siapa suruh tak keluar pengundi: Mat Maslan

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilihat seolah-olah ‘kurang senang’ dengan kenyataan mendakwa Barisan Nasional (BN) sebenarnya bukan pilihan rakyat Johor kerana undi popular tidak memihak kepada mereka.

Tegas Ahmad, demokrasi di Malaysia berlandaskan sistem ‘first past the post’ dan bukan ‘presidential election’ seperti di Amerika Syarikat.

Menurutnya, sejak beberapa hari lepas, ada beberapa pihak juga mempertikaikan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor malah mengaitkannya dengan jumlah peratusan mengundi yang rendah pula.

“Dalam konteks demokrasi, orang yang tidak mengundi tak pernah dihalang untuk keluar. Siapa suruh dia tak keluar? Mereka yang tak keluar mengundi hendaklah terima keputusan mereka yang telah mengundi. Itu adalah sistem demokrasi di Malaysia.

“Analisa kata kalau ramai keluar mengundi, tak mungkin BN menang. Siapa suruh kau tak nak keluar mengundi? Itu saja yang saya nak tanya mereka.

“Tiada siapa halang mereka daripada tak keluar mengundi. Yalah…mereka dah kalah, mereka carilah alasan. Kalah tu kalahlah,” katanya lapor Astro Awani.

Begitupun, tegas beliau, BN tidak mendabik dada dengan kemenangan di Johor sebaliknya akan sentiasa memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena perhimpunan Agung UMNO 2021 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad berkata seramai 5,571 perwakilan dari seluruh negara akan menghadiri PAU2021 pada 16 Mac hingga 19 Mac ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan menyampaikan ucapan dasar pada 18 Mac di hadapan 2,680 perwakilan.

Tegas Ahmad, meskipun tidak dilakukan secara hibrid namun segala prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dipatuhi sebaiknya termasuk menggunakan beberapa dewan bagi mengamalkan penjarakan fizikal.

“Kita juga akan mengadakan satu majlis penyampaian anugerah keapda Tokoh UMNO Negeri. Ini kali pertama diadakan selepas Ucapan Dasar Presiden,” katanya. – Kredit SatuBerita

BERITA BERKAIT
POPULAR