
KJ sebelum ini bingung soal kerusinya selepas bosnya, Tok Mat meminta beliau menyerahkan kerusi Rembau.
Pencalonan Khairy Jamaluddin di Parlimen Sungai Buloh yang diumumkan BN malam tadi nampaknya menggoyangkan parti lawan.
Hari ini PKR dilihat mungkin menimbang semula calon mereka yang diletakkan di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
Sebelum ini PH menamakan Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, Datuk R Ramanan bagi menggantikan penyandangnya, R Sivarasa.
“Saya akan berbincang dengan Anwar Ibrahim mengenai maklum balas pengundi-pengundi di Sg Buloh mengenai calon PKR setakat ini.
“Saya hargai semua pandangan. Keputusan akhir adalah keputusan beliau sebagai presiden parti,” ciap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, hari ini (2 November 2022).
Ramanan merupakan bekas bendahari agung MIC yang meletakkan jawatan pada 2014 susulan berdepan kes mahkamah.
Pada PRU-14, Sivarasa menang dengan 43,631 undi melawan calon PAS, Nuridah Mohd Salleh
Khairy yang merupakan Menteri Kesihatan sementara dicalonkan di kerusi itu selepas kerusi disandangnya selama tiga penggal, Rembau diserahkan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.