
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Barisan Nasional (BN) mahukan Rang Undang-Undang (RUU) sumbangan politik dibentangkan di Parlimen, tatkala beberapa nama pemimpin parti gabungan itu disebut sebagai penerima dana ketika perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ketika perbicaraan kes Zahid di Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini, bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) – syarikat yang memperoleh tender berkaitan Sistem Visa Luar Negara (VLN) – Harry Lee Vui Khun berkata wang diberi kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, bukan bermotifkan rasuah, sebaliknya untuk dana politik.
Harry turut mendedahkan beberapa nama lagi pemimpin politik daripada UMNO dan BN yang menerima dana daripada UKSB, namun kesemua mereka menafikan memperoleh sumbangan berkenaan.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berharap RUU sumbangan politik dapat dibentangkan sekurang-kurangnya untuk bacaan kali pertama pada sidang Dewan Rakyat kali ini.
Menurutnya RUU berkenaan adalah antara agenda yang dimulakan dan diperjuang BN selama ini.
Memetik Utusan beliau berkata, RUU itu adalah satu komitmen BN, malah ia adalah cadangan awal yang dikemukakan BN sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Kita mahu supaya masalah akauntabiliti, ketelusan dan pergerakan wang sesuatu parti politik dapat ditentukan pada satu proses undang-undang.
“Jadi, kita harapkan ia (RUU Sumbangan Politik) dapat diluluskan sepertimana kita lihat RUU Anti Lompat Parti diluluskan sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penutup Forum Polisi Cukai Malaysia Ke-3, di Putrajaya, hari ini (1 Ogos).
Beliau juga berharap RUU itu dapat diluluskan sebelum PRU15, namun, tarikh pilihan raya itu masih tidak diketahui.
Ditanya mengenai pelantikan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari BN Selangor, Zambry berkata, ia satu langkah yang baik memandangkan Tengku Zafrul juga adalah anak jati Selangor.
Malah, katanya, pelantikan itu juga dapat memberi impak besar kerana latar belakang beliau selaku Menteri Kewangan.
“Saya yakin dengan kemampuan Tengku Zafrul dan beliau dapat berikan yang terbaik kepada BN Selangor,” katanya.
Ditanya sama ada pelantikan itu ada kaitan dengan ura-ura mahu meletakkan Tengku Zafrul sebagai calon di Kuala Selangor, Zambry berkata, perkara itu akan diputuskan di peringkat parti.
“Pelantikan beliau amat positif kepada BN kerana kita selama ini sentiasa kemukakan calon muda dan baharu seperti yang dapat kita saksikan dalam pilihan raya negeri di Melaka dan Johor baru-baru ini,” katanya.
Katanya, BN sentiasa mahu tampilkan wajah baharu bagi mendapatkan impak yang baik sekali gus membawa perubahan.