BN bukan komponen GRS: Hajiji

Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menjadi Kerajaan Negeri di Sabah sekarang ini hanya dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor berkata Barisan Nasional (BN) hanya akan menjadi rakan kerjasama gabungan itu dalam pentadbiran kerajaan negeri, manakala hubungan dengan PAS adalah menerusi Perikatan Nasional (PN).

BN Sabah terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Melalui kerjasama itu Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri.

Gabungan ini telah diasaskan oleh Pengerusi PN yang juga Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020.

“Jadi dengan gabungan ini, satu kestabilan politik Sabah akan dapat kita harapkan untuk kepentingan perpaduan dan kerjasama parti yang ada,” kata Hajiji pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini seperti dilapor Bernama.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Penaja GRS, yang turut dihadiri Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee.

Ahad lepas (13 Mac), Hajiji dilaporkan berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pendaftaran GRS sebagai badan gabungan parti politik rasmi di negeri itu.

Pada PRN Sabah ke-16 (26 September 2020), GRS yang ketika itu bukan gabungan rasmi, membentuk kerajaan negeri setelah menguasai 38 kerusi Dewan Undangan Negeri apabila PN memenangi 17 kerusi (Bersatu 11 kerusi dan STAR 6 kerusi), BN (14 kerusi) dan PBS (7 kerusi).

Pada 9 Januari tahun lepas, parti yang membentuk GRS itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengekalkan kerjasama selain menolak campur tangan luar yang cuba menggugat gabungan tersebut.

Sementara itu, Hajiji berkata semua parti komponen GRS akan menggunakan logo dan bendera rasmi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Mengulas mengenai parti yang berhasrat menyertai GRS, beliau berkata sebuah jawatankuasa dibentuk bagi menilai permohonan parti lain untuk bersama-sama GRS, antaranya Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang membuat permohonan itu sejak tahun lepas.

Ditanya mengenai impak situasi politik di Semenanjung kepada Sabah, Hajiji berkata perkembangan yang berlaku di Semenanjung terutama ketika PRN Melaka dan PRN Johor baru-baru ini, dilihat tidak memberi impak besar kepada politik Sabah.

“Politik ini ada macam-macam kemungkinan, saya melihat apa berlaku di Semenanjung, di Melaka dan Johor, saya fikir tidak sama dengan keadaan politik di Sabah,” katanya yang turut mengumumkan barisan Majlis Tertinggi GRS hari ini:

Pengerusi: Datuk Hajiji Noor

Timbalan Pengerusi: Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Yong Teck Lee.

Setiausaha Agung: Datuk Masidi Manjun

Ketua Penerangan: Datuk Joniston Bangkuai

Bendahari Agung: Ardino Diris

BERITA BERKAIT
POPULAR