BN bakal menang selesa PRN Johor, pengundi totok sudah memadai: Mat Hassan

Berbaki sehari lagi sebelum hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Barisan Nasional (BN) berada pada kedudukan selesa untuk menang dan ia memadai sekiranya pengundi totok keluar mengundi.

Kemenangan yang bakal dicapai BN dibuat berdasarkan analisis daripada bilik perang dan laporan jentera dihantar, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan.

“Alhamdulillah bacaan dan anggaran saya buat, war room buat dan laporan-laporan kita timbal balik, setakat hari ini BN melepasi garis penamat tetapi dalam politik macam-macam boleh berlaku.

“Maka baki hari ini dan esok untuk kita pastikan jentera terus dekati seramai mungkin pengundi agar kedudukan kita dapat diperkasa dan diperkukuhkan lagi,” katanya dipetik laporan media hari ini.

Mohamad ditemui wartawan selepas majlis ramah mesra di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Lukut.

Jelasnya, BN dijangka mampu memperoleh 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Namun, Mohamad berkata jentera perlu bekerja lebih kuat dalam tempoh dua hari ini sekiranya mahukan 38 kerusi meskipun BN telah mencapai garis penamat.

“Kalau 28 kerusi seri, 29 kerusi boleh tubuh kerajaan bila saya kata garis penamat dah lepas la tu, jadi nak nasi tambah sambal ke belacan kena kerja kuat lagi supaya yang penting dapat dua per tiga lagi selamat.

“Seperti di Melaka dah selamat aman tak ada kotak katik bahkan Melaka mencurah-curah banyak pelabur datang. Ini yang kita nak bila pelabur datang orang muda dapat manfaat.

“Banyak pelabur datang buka industri, buka perniagaan mereka pun perlukan tenaga kerja maka peluang pekerjaan banyak terbuka untuk mereka,” katanya.

Tambahnya, seperti di DUN Panti dan Pasir Raja walaupun mengikut perkiraan kedua-dua kerusi telah melepasi garisan (kemenangan) tetapi jentera jangan rasa selesa.

“Saya takut jentera selesa. (Kena) kerja kuat hingga tengah malam esok dan Sabtu pagi kita tak boleh bersenang lenang sikap pengundi kita kaji ada yang putih dan tidak.

“Pengundi putih perlu dikeluarkan seramai dan seawal mungkin, tidak guna kalau sokong tapi tak keluar undi,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR