Blok pembangkang ‘ugut tunjuk perasaan’ 19 Julai di Parlimen

Ahli Parlimen blok pembangkang hari ini mengugut untuk berkumpul ‘menunjuk perasaan’ di Parlimen pada 19 Julai ini dalam usaha mereka menuntut sidang Dewan Rakyat disegerakan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini, mereka mendakwa sidang Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini bagi membahaskan krisis pandemik Covid-19 serta Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Ini untuk memastikan usaha berkesan mengekang penularan wabak COVID-19 dan menyelesaikan masalah ekonomi dan kehidupan harian yang dihadapi rakyat.

“Rakyat sekarang sangat tertekan sehingga ada yang telah membunuh diri dan ada yang telah mengibarkan bendera putih, maka sidang Parlimen ini mesti memberi fokus isu rakyat dan bukan isu politik,” kata mereka.

Mereka mendakwa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak membuat sebarang kenyataan berhubung rancangan pembukaan Parlimen.

“Oleh itu, sekiranya Perdana Menteri tidak membuat sebarang pengumuman berkaitan sidang Parlimen selewat-lewatnya 5 Julai 2021, maka kami menggesa semua Ahli Parlimen sama ada Pembangkang mahupun Kerajaan yang menjunjung titah Tuanku dan menghormati semangat Perlembagaan menurut prinsip demokrasi berparlimen untuk bersama-sama ke Parlimen pada 19 Julai 2021,” kata kenyataan itu.

Pada 20 Jun lalu Perdana Menteri mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang untuk meneliti aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.

Perdana Menteri memberi komitmen bahawa keputusan pembukaan persidangan Parlimen akan diputuskan oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang dalam jawatankuasa berkenaan.

Tiga hari kemudian Majlis Presiden PH bersetuju menyertai jawatankuasa khas yang diumum Perdana Menteri dengan syarat Parlimen dibuka sebelum 1 Ogos.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong mencadangkan sidang Dewan Rakyat diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat yang dikeluarkan dapat dibentang seperti termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Baginda juga menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuarat untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

BERITA BERKAIT
POPULAR