Blok pembangkang tolak cadangan Tun M namakan Mukhriz, Azmin calon PM

Pakatan Harapan.

Cadangan bekas Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang menamakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon PM pada masa depan ditolak blok pembangkang.

Pemimpin Pakatan Harapan menyifatkan langkah Dr Mahathir memberi cadangan nama Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan bekas Menteri Besar Kedah itu sebagai lebih bersifat peribadi dan hanya sekadar cadangan semata-mata.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata cadangan tersebut sebagai tidak wajar dan sepatutnya tumpuan sekarang difokuskan dalam menyelesaikan isu rakyat yang sedang berdepan krisis pandemik Covid-19.

“Tun Dr. Mahathir Mohamad bebas untuk beri apa jua pandangan atau siapa pun calon Perdana Menteri.

“Namun sekarang bukan masa sesuai untuk bercakap perkara berkenaan. Sekarang adalah masa untuk kita bincangkan isu rakyat,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Sementara itu, Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli juga senada dengan Saifuddin yang mahu isu Covid-19 sebagai fokus utama sekarang dan menilai pencapaian sejauh mana kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani penularan Covid-19.

“Amanah mahu bincangkan isu-isu rakyat. Kita boleh lihat sekarang kes sudah mencecah lebih 13,000 angka. Adakah langkah lockdown ini berjaya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari juga menolak cadangan tersebut dengan menegaskan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih dianggap calon popular untuk menjawat jawatan nombor satu itu.

“Tun Mahathir tidak percaya pada PH. Sebab itu beliau tidak menamakan calon daripada PH. Sedangkan baru-baru ini sebuah akhbar menyatakan populariti Anwar paling Tinggi,” ujarnya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Parti Pejuang baru-baru mencalonkan dua nama tersebut sebagai calon PM pada masa akan datang.

POPULAR