Blok pembangkang, sekutu jangan jadi penderhaka provokasi Agong

Kesediaan Yang di-Pertuan Agong bertemu pemimpin politik menunjukkan sifat kepemimpinan baginda yang mementingkan perbincangan dalam menyelesaikan sebarang masalah.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyifatkan perbuatan sesetengah parti politik yang mencetuskan provokasi dan ketidakpercayaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai tindakan derhaka dan khianat.

Sehubungan itu, Pemuda PAS memberi amaran kepada mana-mana ahli politik yang cuba menyalahgunakan peluang itu untuk mendapatkan kuasa, supaya jangan berani bertindak bodoh sehingga menggugat kesejahteraan dan keamanan negara dalam tempoh pandemik ini.

Ketua Pemuda PAS, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata kesediaan Yang di-Pertuan Agong bertemu pemimpin politik menunjukkan sifat kepemimpinan baginda yang mementingkan perbincangan dalam menyelesaikan sebarang masalah.

“Kebijaksanaan Agong wajar dihargai semua pimpinan politik, dan tidak disalahgunakan oleh sebahagian pemimpin yang tamakkan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau meminta rakyat Malaysia menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha Yang di-Pertuan Agong, serta mendoakan kesejahteraan dan keamanan negara Malaysia.

“Sepatutnya pemimpin politik meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kerajaan semasa untuk menyelesaikan masalah Covid-19 yang melanda di dalam negara kita dan tidak melakukan provokasi murahan untuk mencapai cita-cita politik masing-masing.

“Semoga kita semua sentiasa bersatu dalam melawan pandemik Covid-19 yang mengancam nyawa kita, serta membangunkan kembali negara ke arah yang lebih baik,” katanya.

Khairil berkata dalam pemerhatiannya, menjadi kelaziman bagi Agong mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin parti politik khususnya dalam isu membabitkan politik dan pemerintahan negara.

Malah, sebelum ini juga Agong telah mengadakan pertemuan yang sama ketika negara menghadapi kemelut politik dan atas usaha baginda, akhirnya penyelesaian ditemui dan kemelut dapat dihentikan, katanya.

POPULAR
Ahli UMNO nafi tapi MP PKR yakin Jajaran Harapan bakal terbentukJune 13, 2021
Kabinet PN paling tenang, bersemangat terus bekerja: Annuar MusaJune 13, 2021
DAP mesti bekerjasama dengan UMNO untuk menang PRU15 nantiJune 13, 2021
UMNO tetap kena terima ‘Jeneral Anwar’June 10, 2021
Jajaran Harapan UMNO, PH semakin kuat bunyinya? Kata PAS JohorJune 12, 2021
Jika diburukkan UMNO tuding Bersatu, kenapa musuh lain tidak?June 13, 2021