Biru kami lebih berkualiti jadi pilihlah BN, kata Zahid

Lambang biru Barisan Nasional (BN) adalah lebih berkualiti dan rakyat Melaka digesa memangkah lambang parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi BN itu sangat bimbang sekiranya pengundi Melaka tidak memilih lambang biru BN kerana tidak mahu kesilapan lama berulang lagi apabila tersilap memilih kerajaan yang lebih layak untuk memerintah negeri tersebut.

“Rakyat Melaka tanpa mengira bangsa dan agama jangan tersilap memilih harapan palsu sekali lagi dan rakyat Melaka berbilang bangsa dan agama jangan tersilap pilih warna biru pada 20 Nov 2021,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebooknya.

Beliau memesan supaya pengundi Melaka tidak memilih lambang biru yang satu lagi, merujuk kepada lambang Perikatan Nasional (PN) yang didakwanya biru palsu berbanding lambang BN yang lebih asli dan lebih bermutu keunggulan.

“Mungkin ada biru kelihatan sama, tetapi tidak serupa. Pastikan pilih biru BN yang original kerana original itu berkualiti.

“Jangan terpedaya biru tiruan cetak rompak kerana hasilnya pasti mendukacitakan,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, jika pengundi memilih BN pada PRN Melaka ia akan dapat mengembalikan kemakmuran yang selama ini dikecapi bawah pentadbiran gabungan itu.

“BN mahu kembalikan kemakmuran dan kestabilan ekonomi yang terus menerus merundum sejak 9 Mei 2018. Maka PRN Melaka sebagai langkah pertama dan kejayaan misi itu kini di tangan rakyatnya,” katanya.

Untuk rekod Kerajaan Melaka sebelum ini dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dari UMNO selepas PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) yang tumbang Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, PRN Melaka terpaksa diadakan selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Sulaiman, sekali gus menyaksikan kerajaan negeri yang diterajui UMNO tumbang.

Empat ADUN itu ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

BERITA BERKAIT
POPULAR