
Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin berpendapat usaha jahat kerajaan PH-BN tidak akan berjaya.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kerajaan campuran Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) semakin bimbang terhadap gelombang sokongan rakyat sehingga tidak dapat dibendung lagi.
Justeru, katanya kerajaan PH-BN mula bertindak mempergunakan agensi penguat kuasa untuk mengenakan tekanan dan membunuh imej PN, termasuk melakukan pendakwaan terpilih bermotifkan politik terhadap pemimpin PN.
Namun, katanya beliau yakin usaha dan tindakan jahat kerajaan PH-BN itu akan gagal, terutama menjelang pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.
Kerajaan PH-BN dianggotai PKR, DAP, AMANAH, UPKO, UMNO, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti kecil lain, termasuk Bebas.
“Kebimbangan kerajaan campuran PH-BN terhadap gelombang sokongan rakyat ke atas Perikatan Nasional sudah tak terbendung.
“Mereka menggunakan agensi penguatkuasa untuk membunuh imej Perikatan Nasional dengan mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pertuduhan politik.
“Usaha jahat PH-BN ini tidak akan berjaya dan kami di Perikatan Nasional akan bangkit lebih bergaya terutamanya dalam Pilihan Raya Negeri di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan.
Hamzah yang juga Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Larut berkata semua tindakan yang dilakukan kerajaan PH-BN itu adalah ujian kepada PN.
“Ujian ini menyatukan kami – buktinya ukhwah kami bertambah kukuh dan kami bersoladariti bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dan Presiden Bersatu akan didakwa di mahkamah hari ini (Jumaat, 10 Mac 2023) atas beberapa tuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Semalam, bekas Perdana Menteri itu hadir di Ibu Pejabat SPRM untuk membantu siasatan beberapa kes ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Bercakap kepada media selepas disoal siasat, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mendedahkan mendedahkan pihak paling berkuasa dalam pentadbiran negara mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa beliau di mahkamah.
Bekas Perdana Menteri kelapan itu juga menegaskan bahawa beliau tidak pernah memberi arahan atau mempengaruhi Kementerian Kewangan supaya meluluskan projek tertentu, termasuk rayuan daripada ahli perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhari.
Pihak paling berkuasa negara arah SPRM dakwa saya di mahkamah: Muhyiddin