Berunding dengan DAP, Zahid juga kena ambil tindakan terhadap Rauf

October 11, 2021 · Politik

Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kerana secara terang-terangan melanggar ketetapan parti yang menolak kerjasama dengan DAP dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu mengambil tindakan keras terhadap Rauf yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana berunding dengan DAP dan menawarkan jawatan kepada mereka atas alasan kononnya untuk menyelamatkan kerajaan pimpinan UMNO itu jatuh.

“Tindakan keras kepada ketua pemimpin UMNO negeri ini perlu diambil kerana telah melanggar janji parti yang menyatakan ‘No Anwar No DAP’, mengadakan pertemuan dengan Ketua DAP Melaka dan tawaran jawatan exco kepada mereka serta beberapa ganjaran lain.

“Tawaran ini akan diberi jika DAP Melaka bersama dengan mereka, antara tawaran lain lagi, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) akan diserahkan kepada DAP,” katanya kepada Agenda Daily.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu membangkitkan isu berhubung pengakuan Rauf sebelum ini yang bertemu dengan pemimpin DAP Melaka dan meminta sokongan untuk menyelamatkan kerajaan negeri Melaka yang dipimpin UMNO itu.

Rauf mendedahkan bertemu dengan pemimpin DAP Melaka sebelum tindakan menarik sokongan empat ADUN kerajaan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berlaku sehingga mengakibatkan DUN dibubarkan.

Bagaimanapun, Rauf menafikan dakwaan yang mengatakan rundingan dengan Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew pada malam 3 Oktober lalu bertujuan untuk meminta ‘nyawa’ dari parti yang merupakan musuh tradisi UMNO untuk sekian lamanya.

Jelasnya, rundingan itu hanya menyentuh usaha menterjemah memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada peringkat kerajaan pusat.

Namun, Idris berkata tindakan tersebut melanggar ketetapan yang diputuskan UMNO semasa Perhimpunan Agung 2020 lalu dan menyifatkan pemecatannya dari parti tersebut sebagai tindakan terpilih,” katanya lagi.

“Siapa yang mungkiri janji sekarang? Rauf kata dia buat benda ini (perjumpaan dengan DAP) kononnya nak selamatkan UMNO. Samalah alasannya dengan saya. Tetapi tindakan kepada saya adalah tindakan terpilih,” ujar beliau.

Beliau juga mempersoalkan tindakan yang dikenakan terhadapnya tetapi bagaimana Rauf boleh pula terlepas, malah menggesa supaya Zahid juga perlu mengambil tindakan dengan mengenakan hukuman terhadap Rauf.

“Mereka melakukan kesalahan yang sama tetapi tidak dihukum. Jadi Presiden perlu tegas dalam mendepani situasi politik semasa dengan mengambil tindakan kepada Rauf.

“Jika tidak, maka tunggu sahajalah kehancuran Melaka,” katanya.

Pada Isnin lepas, Idris bersama tiga lagi ADUN kerajaan mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman yang menyebabkannya secara automatik hilang majoriti dan kerajaan negeri tumbang.

Tiga ADUN lain tersebut adalah Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Bagaimanapun, Rauf bertindak membubarkan DUN selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang menerima cadangan dibawa oleh Sulaiman.

Keptuusan tersebut memberi implikasi satu pilihan raya negeri (PRN) perlu dijalankan bagi memilih kerajaan baharu, malah pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sudah mengumumkan menerima notis pembubaran DUN.

Zahid juga sejurus berlaku krisis tersebut mengumumkan Idris dan Nor Azman digugurkan keahlian mereka berdua sebagai ahli UMNO.

Agenda Daily juga sebelum ini mendedahkan Rauf merupakan orang kepercayaan dan rapat dengan Zahid dan disebabkan pengaruh tersebut beliau cukup digeruni dikalangan pemimpin UMNO Melaka.

Berita berkaitan
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024· Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
UMNO kekal pendirian beri laluan kepada calon DAP, kata Mat Hasan
April 22, 2024· Politik
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024· Politik
Popular
Kor Ming mahu UMNO bantu habis-habisan calon DAP di Kuala Kubu Bharu
April 22, 2024
Azmin dakwa rumah terbuka Aidilfitri Bersatu disekat kerajaan Selangor
April 18, 2024
Tengku Zafrul letak jawatan bendahari UMNO Selangor, tak sehaluan
April 1, 2024
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024
Lagi Politik terkini
Kor Ming mahu UMNO bantu habis-habisan calon DAP di Kuala Kubu Bharu
April 22, 2024 · Politik
Azmin dakwa rumah terbuka Aidilfitri Bersatu disekat kerajaan Selangor
April 18, 2024 · Politik
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024 · Politik
Pengapungan harga petrol dijangka beri tekanan kepada rakyat, kata Bersatu
April 18, 2024 · Politik
Tengku Zafrul letak jawatan bendahari UMNO Selangor, tak sehaluan
April 1, 2024 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok