Bersatu tumpu perkasa hubungan dengan PAS, tak fikir ‘khemah besar’

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) lebih menumpukan usaha memperkasa dan memantapkan hubungan bersama PAS di dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), berbanding pembentukan ‘khemah besar’ bersama pembangkang.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu fokus utama Bersatu pada masa ini adalah untuk memperkasa dan memantapkan hubungan dengan PAS yang dilihat mampu meneruskan agenda perjuangan agama, bangsa dan tanah air selain menolak segala kemungkaran dan salah guna kuasa.

“PAS dan Bersatu sebagai rakan akrab, rakan kongsi yang akan meneruskan agenda perjuangan agama bangsa dan tanah air menolak kleptokrasi, segala bentuk kemungkaran dan salah guna kuasa ini.

“PN akan meneruskan perjuangan demi kepentingan rakyat dan negara untuk memperbaiki imej negara yang tercalar dengan teruk sekali,” katanya kepada pemberita ketika program Singgah Sahur Bersama Media dan Belia negeri Perak di sini hari ini.

Sehubungan itu Ahmad Faizal berkata Bersatu belum menetapkan sebarang pendirian berhubung pendekatan ‘Khemah Besar’ yang melibatkan gabungan beberapa parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya perkara itu hanya akan diputuskan selepas perbincangan dilakukan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

“Kami belum bincangkan tentang khemah mana yang kami ingin sertai sama ada khemah besar atau kecil. Ini semua terserah kepada keputusan yang akan dibuat MPT setelah tiba masanya nanti.

“Rakan-rakan dalam komponen Perikatan Nasional tentunya akan terus komited bersama kami, terutama sekali di Semenanjung ini,” katanya mengulas kenyataan Timbalan Presiden AMANAH Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Salahuddin sebelum ini dilapor berkata pemimpin parti pembangkang perlu berjiwa besar dengan memaafkan dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan pendekatan ‘Khemah Besar’ untuk berdepan Barisan Nasional.

BERITA BERKAIT
POPULAR