
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan meletak jawatan.
Peletakan jawatan Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai Ketua Penerangan diterima Bersatu berkuat kuasa hari ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden Bersatu itu berkata Wan Saiful sudah memaklumkan hasratnya untuk melepaskan jawatan dalam parti yang dipegangnya pagi tadi selepas menjadi sasaran pendakwaan terpilih bermotif politik kerajaan campuran.
“Saya sudah menerima peletakan jawatan Ketua Penerangan berkuat kuasa hari ini oleh Wan Saiful ketika berjumpa pagi tadi.
“Beliau akan hantar surat (peletakan jawatan) hari ini, Insya-Allah,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Misi dan Dana Bantuan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) – Gempa Bumi Turkiye dan Syria di Parlimen hari ini.
Terdahulu Wan Saiful mengumumkan hasratnya untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu susulan pendakwaan dikenakan terhadapnya semalam.
Beliau berkata hasrat itu sudah dimaklumkan kepada Muhyiddin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan terpulang kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk membuat keputusan.
Katanya, tindakan itu dibuat bagi memberi tumpuan untuk membersihkan namanya terlebih dahulu yang menjadi prinsip selama ini.